suria

Polis Masih Siasat Motif Kes Tembak Rumah Menteri Sarawak

Anggota polis melakukan siasatan pada cermin yang pecah akibat dalam kejadian tembakan yang dilepaskan ke arah kediaman Wong di Jalan Ipoh, Sibu, baru-baru ini.
MIRI: Polis masih menyiasat motif sebenar suspek tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah kediaman Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh di Sibu pada Rabu lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meminta semua pihak terutama sekali media tempatan untuk menghentikan sebarang spekulasi motif tembakan yang dikaitkan dengan politik.

"Saya baca akhbar mengaitkan kes tembakan dengan pelancaran Parti Rakyat Bersatu (UPP) tidak lama lagi, jangan membuat sebarang rumusan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

"Setelah siasatan selesai polis akan mendedahkan kepada orang awam mengenai kes ini, buat masa ini lebih baik serah kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya.

Pada 13 Ogos lepas, beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kediaman Wong antara 8.15 hingga 8.30 malam dan isteri Wong, Datin Seri Leong Poh Ling dilaporkan berkata tembakan itu mengenai tingkap namun tiada siapa yang cedera.

Terdahulu Junaidi mendengar taklimat mengenai isu jenayah di Bandaraya Miri bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Pahlawan Zulkifli Hassan, Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee dan pegawai kanan polis di sini.

Beliau berkata, polis Sarawak dan Sabah kini boleh mengambil tindakan lebih tegas terhadap kegiatan kongsi gelap dan gangster berikutan penguatkuasaan Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 mulai 2 April 2014.

"Kita akan ambil tindakan tegas tanpa mengira kedudukan dalam masyarakat demi kepentingan keamanan negara," katanya.

Di bawah undang-undang itu ia membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi tujuan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah dan digubal untuk mengekang aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang yang semakin meningkat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain