suria

Tindakan Adun Pas Selangor Sokong PKR Jelas Belakangkan Parti - Pas Terengganu

Satiful Bahri Mamat

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menyifatkan tindakan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor adalah membelakangkan parti.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat menyokong kenyataan NaibPresiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta supaya semua anggota PAS mematuhi arahan pucuk pimpinan parti dan tidak membuat sebarang keputusan yang membelakangkan parti.

"PAS Terengganu menyifatkan sebarang tindakan membuat keputusan sebelum mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang akan diadakan pada Ahad ini sebagai membelakangkan parti dan jemaah," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya PAS Kuala Nerus pada Khamis.

Oleh itu, beliau berharap Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali meminta penjelasan segera daripada kedua-dua Adun tersebut iaitu Sa’ari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Saiful yang juga Adun Paka menegaskan sokongan tidak berbelah-bahagi PAS Terengganu terhadap kenyataan dan pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu Menteri Besar Selangor.

Beliau turut meminta PAS Pusat mengkaji semula ‘Tahaluf Siyasi’ atau kerjasama politik PAS bersama-sama PKR dan DAP.

Menurutnya, sekiranya ia memberikan kebaikan kepada PAS, ia wajar diteruskan tetapi PAS harus mempertimbang semula penyertaannya dalam pakatan pembangkang sekiranya ia merugikan parti. 

Pas, Terengganu, Adun, Selangor

Artikel Lain