suria

Isu "I Love Israel': Sekolah Diminta Adakan Perhimpunan Khas

GEORGE TOWN: Pengetua sekolah menengah di Simpang Ampat dekat sini diminta mengadakan perhimpunan khas berhubung kes seorang pelajarnya disiasat polis selepas menekan butang 'like' di laman peminat 'I Love Israel' di Facebook baru-baru ini.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Osman Hussain berkata perhimpunan itu bertujuan memberi peringatan kepada warga sekolah supaya lebih peka dan bersifat matang dalam mengeluarkan pendapat atau memberi respons mengenai isu sensitif yang berlaku di sekeliling mereka.

Jabatan Pendidikan negeri turut bercadang mengatur sesi kaunseling kepada pelajar dan guru yang mengkritik pelajar itu dalam masa terdekat dan telah berjumpa kedua-dua pihak semalam, katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Daerah Timur Laut di sini, Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan seorang guru dari sekolah yang sama turut mengkritik tindakan pelajar itu dalam Facebook miliknya sehingga mengundang komen daripada pengguna lain yang mengecam perkara itu.

"(Tindakan) Dua-dua (guru dan pelajar) tak berapa betul. Pelajar kena sensitif dengan masyarakat sekeliling, guru pula kena jaga, sayang pelajar walau siapapun mereka dan beri tunjuk ajar kalau mereka buat salah," katanya.

Beliau berkata pelajar berkenaan telah kembali bersekolah seperti biasa dan pihaknya menyerahkan kes itu kepada polis.

Osman turut meluahkan rasa kesal kerana perkara itu dihebahkan dalam laman sosial sehingga mencetus kontroversi sedangkan ia boleh ditangani secara muhibah dalam suasana 'kekeluargaan' kerana kedua-dua individu datang daripada sekolah yang sama.

"Kami juga akan meneliti tindakan sesuai yang boleh diambil terhadap kedua-dua belah pihak selepas siasatan polis selesai. Tak nak selesai macam itu sahaja, supaya mereka belajar sesuatu daripada insiden ini," katanya. 


Israel, Palestin

Artikel Lain