suria

150 Balai Bomba Kategori D Akan Dibina

KANGAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat menyasar untuk membina 150 balai kategori D dalam tempoh lima tahun dari sekarang, kata Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata balai kecil itu akan dibina di tempat strategik seperti kawasan pembangunan bandar atau perindustrian baharu.

"Balai bomba kategori D hanya ada sebuah kereta bomba manakala kos bangunannya adalah sekitar RM500,000 yang boleh dibina dengan cepat.

"Jika pembinaan dilakukan secara konvensional, kita mungkin boleh membina lima balai sahaja dalam masa lima tahun. Cara paling berkesan ialah dengan membina balai kecil di tempat strategik untuk meningkatkan kecekapan dan kepantasan bertindak memadam kebakaran," katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata sebahagian tapak untuk melaksanakan projek itu telah ada dan sebahagian lagi sedang dikenal pasti.

"Kelebihan membina balai kategori D adalah ia boleh diperbesarkan kepada kategori A, B atau C mengikut keperluan dan perkembangan semasa," tambahnya.

Wan Mohd Nor berkata di Perlis, sebuah balai baharu kategori D akan bina di Pekan Simpang Empat dekat sini tidak lama lagi.


Bomba

Artikel Lain