suria

Mangsa Culik Warga Bangladesh Ditemui Mati Di Bukit Gambir

ACP Mior Faridalathrash Wahid

GEORGE TOWN:  Seorang daripada dua warga Bangladesh yangdilapor diculik sekumpulan lelaki warga Myanmar ditemui mati di Bukit Gambir pada Ahad. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut  Asisten Komisioner Polis (ACP) Mior Faridalathrash Wahid berkata mangsa berusia 39 tahun itu ditemui pukul 1.30 petang dalam keadaan bogel serta mukanya ditutup dengan baju dan kesan jerutan di leher. 

"Pada pukul 2 petang Sabtu polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh mengatakan dia dan seorang lagi rakannya telah diculik dan dibawa ke atas bukit berkenaan. 

"Mangsa turut mendakwa kumpulan penculik terbabit meminta wang tebusan sebanyak RM200,000 daripada rakan-rakannya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, Ahad,".

Katanya, lelaki bernama Mozibur Rahman, 33, itu berjaya melepaskan diri pada pukul 6 pagi Sabtu dan mendakwa diculik sekumpulan lelaki warga Myanmar sejak Khamis lepas.  

Mior Faridalathrash berkata susulan itu polis bersama beberapa rakan warga asing berkenaan melakukan gerakan mencari sehingga pukul 7.30 malam Sabtu namun gagal menemui mangsa.

Pada hari kejadian Mozibur Rahman dikatakan dihubungi seorang lelaki dipercayai warga Myanmar yang meminta bantuannya untuk membuat kabinet dapur kira-kira pukul 8.30 malam.

Mereka kemudiannya bertemu di hadapan sebuah flat di Bukit Jambul di sini sebelum datang tiga lelaki menaiki sebuah kereta yang menyamar sebagai polis dan meminta pasport mangsa untuk diperiksa, katanya. 

Tiga lelaki yang juga dipercayai warga Myanmar itu kemudiannya memperdaya mangsa menaiki kereta itu untuk dibawa ke balai polis selepas mendakwa pasport yang dimiliki adalah palsu. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa telah mati dalam tempoh kurang daripada 24 jam dan pihaknya telah memanggil seramai 20 rakan warga asing berkenaan untuk membantu siasatan. 

"Lokasi kejadian agak curam dan berbukit-bukit dan polis turut meminta bantuan bomba untuk menurunkan mayat mangsa," katanya. 

culik, bunuh, bangladesh

Artikel Lain