suria

Malaysia Masih Di Landasan Tarik 28 Juta Pelancong Tahun Ini

Mohamed Nazri Abdul Aziz.
GEORGE TOWN: Malaysia masih berada di landasan untuk merekodkan 28 juta ketibaan pelancong tahun ini biarpun berhadapan beberapa cabaran, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. 

"Matlamat kami tahun ini ialah 28 juta pelancong. Beberapa bulan ini, kami berhadapan dengan pelbagai kesulitan seperti penculikan (di Sabah), kehilangan dua pesawat, ramai yang merasa ini akan menjejaskan pencapaian sasaran kami.

Saya ingin melaporkan bahawa kami masih di landasan kerana ketibaan pelancong antara Jan dan Mei meningkat 10 peratus ke 11 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas," kata beliau dalam ucapannya di pelancaran Festival George Town (GTF), malam Jumaat.

Turut hadir Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Nazri berkata tidak dinafikan GTF adalah satu pesta yang menjadi salah satu tarikan utama bukan sahaja di dalam negara tetapi di rantau ini dan kementerian berbangga menjadi sebahagian daripada GTF untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia. 

Nazri berkata kesenian sentiasa menjadi unsur penting dan Malaysia memperkenalkan Pesta Pelancongan Kesenian Kontemporari 1Malaysia (1MCAT) untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesenian yang berwibawa.

GTF Kelima bermula dengan Sarkis Sarkis, satu himpunan sarkis yang unik terdiri daripada persembahan empat negara iaitu Finland, Japan, China dan Thailand.

Pesta selama sebulan itu adalah sempena sambutan status Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan mengandungi 147 program termasuk pelbagai persembahan kebudayaan dan kesenian selain daripada pameran. 

Artikel Lain