suria

Empat Suspek Disyaki Letup Mesin ATM Diberkas

SHAH ALAM: Empat suspek yang dipercayai meletupkan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Bukit Beruntung dekat sini Rabu lepas diberkas semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka yang berumur lingkungan 30-an diberkas dalam dua serbuan di Tanjong Karang dan Puchong.
 
"Polis turut merampas sebuah kereta. Seorang suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau yang sama yang dilakukannya di Jenjarom, Subang Jaya, Puchong dan Shah Alam,

"Dia dipercayai dalang kepada kumpulan tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu dipercayai aktif sejak tahun lepas dan modus operandi mereka ialah menggunakan bom buatan sendiri yang berasaskan mercun.

"Bahan yang digunakan untuk meletupkan mesin ATM tersebut dipercayai meletup lebih awal," katanya.

Abdul Rahim berkata seorang lagi suspek dilihat sempat melarikan diri dengan motosikal jenis 'scrambler'.

Beliau berkata keempat-empat suspek yang ditahan itu direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini.

Dalam kejadian itu, kumpulan penjenayah tersebut gagal memecahkan tiga mesin ATM dan beberapa mesin lain yang terdapat di pusat perkhidmatan bank berkenaan.

Sementara itu Abdul Rahim berkata belum terdapat tangkapan dibuat berhubung kejadian 10 lelaki mengamuk dan mencederakan beberapa pengunjung kafe siber di Taman Bayu Perdana, Klang semalam.

mesin ATM

Artikel Lain