suria

Jitu Berkuasa Lapor Kepada Menteri, Ketua Audit Negara

Hisham Nordin
PETALING JAYA: Jawatankuasa Kerja Integriti dan Tadbir Urus (Jitu) diberi kuasa melapor penemuan atau kesalahan berkaitan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan secara langsung kepada menteri bertanggungjawab dan Ketua Audit Negara.

Tanggungjawab yang diberikan kepada Ketua Unit Integriti dan Juruaudit Dalaman Jitu mengikut tahap risiko kes yang dikendalikan di semua kementerian dan jabatan di peringkat Pusat serta negeri.

Jitu yang menggantikan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) itu berbeza kerana ia boleh melangkau ketua setiausaha dan timbalan ketua setiausaha (TKSU) peringkat kementerian di mana menerusi JKTU, laporan hanya dikemukakan diperingkat TKSU.

Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah, Datuk Hisham Nordin berkata, perubahan itu untuk memberi hasil berkesan dalam usaha memerangi rasuah secara menyeluruh.

"Perlu ditegaskan di sini, ia bukan sekadar bertukar nama, tetapi berbeza dari segi struktur, selain lebih mudah memberi fokus terhadap usaha mengurangkan ruang rasuah serta langkah menanganinya.

"Sebab itu, operasinya bagi memenuhi keperluan di setiap kementerian dan jabatan peringkat Pusat serta negeri, selain memberi impak dalam urusan pencegahan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan," katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Hisham berkata, pengukuhan dalam struktur Jitu yang turut dianggotai wakil tujuh agensi kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dirangka untuk memastikan isu yang diketengahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara ditangani di peringkat awal.

"Masalah ketirisan misalnya, ia sukar ditangani hingga menimbulkan kemarahan orang ramai kerana menganggap tiada tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

"Situasi ini berbeza dengan asas utama penghasilan laporan itu dimana kerajaan mempamerkan dasar keterbukaannya, sebaliknya 'diserang' rakyat yang mendakwa masalah itu timbul berikutan kelemahan tadbir urus kerajaan," katanya.

Berikutan itu, bagi menjamin keutuhan Jitu, Hisham berkata, Unit Integriti di kementerian dan jabatan akan menjadi sekretariat jawatankuasa yang mengetengahkan tiga model  iaitu risiko tinggi, sederhana dan rendah yang mencerminkan tahap rasuah yang perlu dikendalikan.

Beliau berkata, umumnya, unit ini bertanggungjawab terhadap aspek tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan audit, pematuhan dan tatatertib.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya mahu Jitu dianggotai pegawai SPRM supaya usaha untuk menambah baik sistem penyampaian kerajaan seiring dengan usaha membasmi gejala penyelewengan, pemborosan dan penyalahgunaan dalam sektor perkhidmatan awam.

Beliau juga mahu Jitu melaporkan kepada PAC sebagai sebuah badan bebas daripada campur tangan eksekutif supaya tindakannya berkesan.

Jitu adalah kerjasama kementerian dan agensi yang bertindak sebagai jentera utama bagi mengetuai semua program tranformasi berhubung urus tadbir dan integriti.

Penubuhan JITU diluluskan Kabinet pada Mac lalu yang mengandungi 200 ketua unit integriti dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.


Jitu, NKRA, Datuk Hisham Nordin, rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Lain