suria

Najib Alu-Alukan Langkah UNSC Usahakan Gencatan Senjata Di Gaza

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalu-alukan gencatan senjata selama 12 jam yang diusahakan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) di Gaza untuk membolehkan sukarelawan menghantar bantuan kemanusiaan.

"Saya menyambut baik gesaan UNSC bagi gencatan senjata dengan segera dan berkekalan di Gaza. Terlalu banyak nyawa yang tidak berdosa telah terkorban. Kami memerlukan komitmen ke arah keamanan," kata dalam Najib dalam laman Twitter pada Isnin.

Dalam kenyataan pada Isnin, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, yang kembali selepas lawatan enam hari ke beberapa negara di Timur Tengah, juga mengulangi gesaannya kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik supaya mematuhi gencatan senjata selama seminggu untuk membolehkan rundingan disambung semula.

Ban juga mengingatkan bahawa sebarang usaha ke arah keamanan yang tidak menangani punca konflik tidak akan berkesan, malahan hanya menjadi pentas bagi kitaran keganasan selanjutnya.

Menurut Agensi Bantuan dan Kerja bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat PBB (UNRWA), serangan terbaharu tentera Israel di Gaza, yang menjadi tempat tinggal bagi 1.8 juta rakyat Palestin, telah mengorbankan beratus-ratus orang dan beribu-ribu cedera.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang lain berkata angka kematian orang awam Palestin dalam serangan Israel telah melebihi 1,000 orang.

UNSC, Najin Tun Razak

Artikel Sebelum

Dulu Nyah Kini Daie

Artikel Lain