suria

Gagal Hadir Ke Mahkamah, Kes Alvin Disebut Semula 22 Ogos

Alvin Tan.
KUALA LUMPUR: Blogger kontroversi Alvin Tan, yang menghadapi pertuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan, pada Jumaat masih gagal hadir ketika sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee memaklumkan kepada mahkamah bahawa waran tangkap masih gagal disempurnakan kepada Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap blogger itu pada 13 Jun lepas.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh lain untuk sebutan waran tangkap kali kedua dan notis tunjuk sebab kepada penjamin mengapa wang jaminan RM30,000 yang dikenakan terhadap Tan tidak sepatutnya dirampas oleh mahkamah.

Hakim Abdul Rashid Daud kemudiannya menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula kes.

Vivian Lee atau Lee May Ling, 25, yang dituduh bersama-sama Tan tidak hadir pada prosiding hari ini selepas kehadirannya dikecualikan oleh mahkamah.

Pada 13 Jun lepas, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Tan selepas dia gagal mengembalikan pasport antarabangsanya sebelum 4 Jun lepas dan hanya Lee yang memulangkan semula pasportnya kepada mahkamah pada 3 Jun lepas.

Pasangan itu, yang diwakili peguam Chong Joo Tian memperoleh pasport antarabangsa mereka pada 12 Mei bagi membolehkan mereka menjalani penggambaran dokumentari di Singapura bagi tempoh 18 Mei hingga 3 Jun lepas.

Mengikut pertuduhan, Tan dan Lee, 25, didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers, mengikut Akta Hasutan 1948.

Ia mengandungi gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan !!!)' yang mengandungi logo halal antara 11 dan 12 Julai tahun lepas di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini. 

Mereka turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di https://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai tahun lepas mengikut Akta Penapisan Filem 2002.

Pada 23 April lepas pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan di Mahkamah Rayuan pada 21 April lepas yang menggugurkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi Tan dan Lee mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan.

Alvivi, bloger, Alvin, Vivian

Artikel Lain