suria

Ramadan Vs Piala Dunia

BULAN Ramadan bermula ketika pertandingan Piala Dunia memasuki peringkat kalah mati bagi 16 pasukan yang terbaik demi merebut gelaran juara bagi acara bolasepak paling berprestij di muka bumi ini.

Maka ramailah yang bangun untuk bersahur dan pada masa yang sama mencuri kesempatan itu untuk turut  menyaksikan perlawanan-perlawanan yang ditayangkan secara langsung di awal pagi hingga pertandingan mencapai kemuncaknya pada 14 Jun nanti.

Dan kira-kira dua minggu selepas itu,umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kehadiran Aidilfitri dengan penuh kesyukuran, keriangan dan kebahagiaan.

Sebelum berbincang lebih lanjut mengenai Piala Dunia, penulis ingin menarik perhatian pembaca kepada trend yang membimbangkan setiap kali Ramadan menjelma.

Bulan di mana Al Quran di wahyukan kepada Nabi Muhamad s.a.w semakin menjadi suatu pesta jualan dan perbelanjaan berlebih-lebihan.

Kedai perabot pun turut serta mempromosikan sambutan kedatangan Ramadan, begitu juga pusat spa dan kecantikan,  taman tema, butik fesyen dan toko-toko barangan kemas.

Seperti biasa, setiap bulan Ramadan, hotel-hotel besar dan pusat-pusat peranginan juga menggamit pelanggan dengan apa yang dikatakan tawaran istimewa bulan Ramadan.

Unsur-unsur komersial seperti ini telah menghakiskan kemurnian Ramadan, bulan ke-9 di takwim Islam dan yang paling penting dalam kalendar umat Islam.

TIADA ADA KAITAN

Beberapa tahun dulu, dalam keghairahan menggunakan Ramadan sebagai gimik untuk mempromosikan restorannya, sebuah hotel terkemuka di ibu kota mengadakan ‘makan tengah hari‘ Ramadan.

Promosi itu dihentikan serta merta bila hotel tersebut menerima kritikan dan teguran pelbagai pertubuhan badan Islam, media Melayu dan pihak berkuasa.

Juga, sebuah stesen radio yang kononnya berteraskan dakwah Islamiah, telah juga dituduh beraksi keterlaluan bila ia bertanya kepada pendengarnya, mana lebih penting: berpuasa atau menyambut Aidilfitri?

Puasa, salah satu dari lima Rukun Islam, tidak boleh di soal atau kemurniannya dijadikan bahan berdebat.

Maka, radio tersebut ditegur dan juruhebah berkenaan dikenakan tindakan oleh pihak majikannya.

Puasa bukan semata-mata menghindarkan diri dari makan dan minum.

Ia merupakan suatu ibadah yang menghendaki umatnya menepis secara mutlak perkara-perkara duniawi yang boleh menyebabkan kita lalai, cuai, riak dan angkuh.

Orang Islam berpuasa semata-mata menuruti perintah Allah, bukan kerana rakan-ranan mencabarnya untuk berbuat demikian.

DAYA KETAHANAN KENTAL

Berbalik kepada perbincangan fasal Piala Dunia tadi; tahun ini ia telah menarik ribuan peminat dari negara Islam kerana pasukan-pasukan dari Algeria, Bosnia Herzegovina, Iran dan Nigeria turut menyertainya di samping ramai bintang bola beragama Islam dari pasukan-pasukan lain.

Ramadan adalah masa untuk menjauhkan diri daripada nafsu duniawi mulai mentari terbit hingga terbenam, disamping mengenegahkan banyak aktiviti berunsur ibadah, solat, pemberian zakat dan fitrah serta tazkirah.

Sudah tentu ia amat mencabar bagi pemain-pemain Islam dalam pertandingan seperti Piala Dunia. Misalnya, penyerang Perancis, Karim Benzema dan pemain Jerman, Mesut Ozil yang satu dunia tahu mereka beragama Islam.

Difahamkan, berbulan-bulan sebelum pertandingan bermula, pihak FIFA, iaitu Persatuan Bola Sepak Antarabangsa, telah mengarahkan pelbagai kajian dibuat untuk mengenalpasti risiko dan kesan kepada pemain-pemain yang berpuasa.

Dibantu pakar perubatan dari beberapa negara Islam yang bertanding, FIFA mendapati tiada maklumbalas yang negatif asalkan isu itu dikendalikan secara bijak dan menuruti nas-nas yang ditentukan oleh agama Islam sendiri.

Misalnya, sebelum fajar menyinsing, mereka terlebih dulu sudah bersahur dan punyai tenaga dan bendalir jasmani yang cukup untuk bertahan selama kira-kira 12 jam hingga iftar, iaitu waktu berbuka puasa.

Kita dapat bayangkan betapa kuatnya iman seorang atlet yang mesti mempertahankan daya tenaganya di gelanggang stadium ketika berdepan dengan pesaing-pesaing yang tidak perlu berpuasa sepertinya.

Dilaporkan di Brazil ketika ini, cuacanya amat panas.

Kalau haus atau letih, pemain yang berpuasa mungkin  cuma berupaya membasahi mulut dengan air atau lap badannya dengan tuala basah.

Dua tahun lalu di London, ketika ibu kota British itu menjadi tuan rumah Sukan Olimpik – juga di musim Ramadan – atlet-atlet Islam mengkagumkan pesaing bukan Muslim dengan menunjukkan daya ketahanan diri yang kental walaupun menyertai acara-acara lasak seperti larian marathon.

Pasukan bola sepak Emiret Arab Bersatu di Sukan Olimpik dibenarkan oleh pihak berkuasanya untuk qadhor atau gantikan hari mereka tidak berpuasa ke tarikh lain. Alasan yang diberi ialah Islam punyai kelonggaran bagi keadaan-keadaan tertentu, seperti  dalam keuzuran atau perjalanan.

Namun, tindakan tersebut dianggap oleh pasukan yang lain sebagai tidak menepati syarat kerana pasukan Arab itu bukan dalam keadaan darurat.

Di gelanggang Piala Dunia, impak ke atas pemain-pemain Islam belum dapat diketahui hinggalah juara akhirnya dinobatkan dan pertandingan selesai.

Kita berdoa agar semua pemain Islam dapat megharungi dugaan dengan tabah dan jaya. In sya Allah.

Penulis mengucapkan kepada para pembaca “Selamat beribadah di bulan Ramadan yang mulia ini.”

Piala Dunia, Ramadan

Artikel Lain