suria

Tamar: Makanan Sunnah, Khasiat Sepanjang Masa

PETALING JAYA: Setiap kali menjelang Ramadan, buah kurma atau tamar menjadi hidangan tradisi bukan sahaja ketika berbuka puasa, malahan bersahur.


Khasiat kurma juga tidak dapat disangkal kerana ia turut dijadikan penawar untuk pelbagai jenis penyakit, malah memberi tenaga selepas seharian menahan lapar dan dahaga.

Pengasas program Iman Muda dan Ustazah Pilihan, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, selain menjadi kebiasaan, umat Islam disunatkan berbuka dengan kurma kerana ia merupakan makanan sunnah.

“Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah kerana mempunyai khasiat semulajadi yang tinggi. Amalan berbuka puasa dengan mengambil tiga biji kurma dengan diikuti segelas air sudah memadai," katanya kepada mStar Online.

Jelas Tuan Asmawi, buah kurma amat sesuai dijadikan hidangan berbuka puasa kerana kandungan tenaganya yang tinggi dapat mengembalikan paras gula rendah dalam darah kepada paras normal.

Malah, katanya, kehebatan kurma juga diiktiraf oleh dunia perubatan kerana ia mengandung pelbagai vitamin penting yang diperlukan tubuh badan.

“Kurma adalah penghalang kepada pelbagai penyakit seperti sembelit, kencing manis dan gangguan makhluk halus. Jika kita lihat di negara Arab, mereka susah diserang peyakit kerana sering mengamalkan makan kurma,” katanya.

Malah, Tuan Asmawi berkata, bagi sesetengah penduduk di negara itu, kurma sudah dijadikan sebagai makanan premier selain roti.

“Jadi kita tidak seharusnya makan kurma apabila tiba Ramadan sahaja. Kita harus mengamalkan pengambilannya setiap hari,” katanya.

Katanya lagi, hari ini pelbagai jenis buah kurma sama ada yang kering, basah mahupun segar boleh didapati dengan mudah di pasaran tempatan.

Namun, katanya, kurma yang terbaik dan paling mahal adalah kurma Ajwa atau lebih dikenali sebagai kurma Nabi.

"Kurma Ajwa iaitu kurma pertama ditanam sendiri Nabi Muhammad S.A.W dikurniakan kelebihan oleh Allah S.W.T iaitu mampu menghalang serangan penyakit fizikal dan makhluk halus," katanya.

Tuan Asmawi berkata, selain kurma Ajwa, sebenarnya terdapat 1,400 jenis kurma di seluruh dunia.

"Di Arab Saudi sahaja ada sekitar 400 jenis kurma. Itu belum termasuk kurma yang terdapat di Mesir, Iraq, Iran, Tunisia, Pakistan dan California," katanya.

Namun, antara yang popular dan digemari adalah kurma Sekki, Barhi, Kholas, Khidri, Mactoumi, Sokari, Siraj, Majol, Monief, Noor, Amir Hajj, Halawy, Khastawi, Khadrawy dan Zahdi.

kurma, Ramadan, Tuan Asmawi Tuan Umar

Artikel Lain