suria

Jakim Adakan Mesyuarat Khas Isu Cadbury Isnin

Seorang petugas sebuah pasaraya menarik semula penjualan coklat Cadbury Dairy Milk Kacang Hazel yang mana telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan pada 23 Mei lalu mengandungi DNA Porcine. Selain Coklat Susu dengan Kacang Hazel, Coklat Susu dengan Buah Badam turut disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mengandungi DNA Porcine.
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan mesyuarat khas dengan Kementerian Kesihatan, Jabatan Standard dan Jabatan Kimia esok berhubung isu penemuan DNA khinzir dalam dua sampel coklat Cadbury.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dalam kenyataan pada Ahad berkata Jakim akan turut memanggil syarikat berkenaan untuk mendapatkan maklum balas lanjut berhubung perkara itu.

"Segala keputusan mesyuarat tersebut akan dimaklumkan kepada media sebaik sahaja mesyuarat selesai.

"Sehubungan dengan itu Jakim memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas terhadap isu ini bagi mengelakkan keresahan awam," katanya.

Kenyataan itu menambah dua sampel coklat yang ditemui DNA khinzir ialah Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813 M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013 N01RI1).

Semalam Jakim menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury yang dikesan mengandungi DNA khinzir terbabit.

Cadbury Confectionary Malaysia Sdn Bhd dalam kenyataan berasingan hari ini berkata syarikat itu telah menarik balik dua produk berkenaan dengan serta-merta.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan dua produk terbabit mengandungi DNA khinzir dan hasil analisis itu tersebar luas menerusi media sosial.
Cadbury

Artikel Lain