suria

Pencalonan Dyana Sofya Tidak Mengejutkan – Teman Baik

Natassia ketika ditemui pemberita pada malam Jumaat.

TELUK INTAN: Lebih banyak pendedahan mengenai pembangkang mungkin menjadi faktor calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menyertai parti itu.

Exco Puteri Umno cawangan Gombak, Natassia Roslan yang juga teman baik Dyana Sofya berkata, pencalonan Dyana Sofya sebagai calon DAP pada PRK Teluk Intan bukanlah satu perkara yang mengejutkan mereka sebagai rakan.

Beliau yang pernah bersekolah malah sekelas dengan Dyana di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Kuala Lumpur memberitahu, pendedahan daripada pihak pembangkang mengenai perti mereka kepada calon DAP itu memungkinkan penglibatannya dalam parti tersebut.

“Ketika kami di sekolah, kami lebih berdikari, dan kami tahu apa yang kami mahukan. Tetapi kami tidak bercakap sangat mengenai politik mahupun berkaitan dengan kerajaan. Jadi, adalah sukar untuk menentukan siapa yang menyokong kerajaan atau pembangkang.

“Dia (Dyana) mungkin mendapat pendedahan daripada sebelah sana (DAP) dan saya tidak pasti berapa input yang dia dapat,” katanya kepada para pemberita pada majlis yang dianjurkan oleh Puteri Umno dekat Menara Condong di Teluk Intan, malam Jumaat.

Ditanya adakah Dyana cuba mempengaruhi rakan-rakan sekolahnya untuk menyokong DAP, Natassia menjelaskan bahawa masing-masing mempunyai pendirian yang berbeza.

“Walaupun masing-masing teman baik pun, mungkin sokong pembangkang… mungkin sokong kerajaan. Kita boleh lepak bersama-sama macam biasa tetapi tidak akan ganggu persahabatan walaupun berlainan ideologi dan fahaman politik,” katanya.

Dalam pada itu, Natassia mendedahkan bahawa banyak panggilan telefon dan mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) diterimanya selepas Dyana diumumkan sebagai calon DAP PRK Teluk Intan.

Beliau yang juga anggota Biro Bantuan Guaman pergerakan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika disoal mengenai hal peribadi Dyana.

“Ini (panggilan telefon dan SMS) termasuk bertanyakan hal peribadi dia seperti kehidupan sosial dan status hubungannya. Tetapi prinsip saya adalah tidak perlu untuk membongkar hal peribadi Dyana Sofya,” katanya.

Bagaimanapun, Natassia menjelaskan bahawa Dyana Sofya sewaktu di sekolah merupakan seorang yang tegas pendiriannya dalam membuat keputusan.

Teluk Intan

Artikel Lain