suria

Calon Bebas Akui Masih Ahli PAS

Dari kiri, calon Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan, calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohamed Nabi Abdul Sathar, calon DAP, Ramkarpal Singh dan calon bebas, Abu Backer Sidek Mohd Zan mengangkat tangan selepas menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor di Dewan Sri Pinang pada Isnin.

GEORGE TOWN: "Saya adalah anggota PAS dan beberapa pemimpin tertinggi parti memang kenal saya sejak awal penglibatan dalam politik."

Demikian kata Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar, 63, anggota PAS yang bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor.

Selain menafikan beliau anggota Umno seperti yang didakwa pemimpin PAS, Mohamed Nabi Bux turut berkata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pernah memberi ceramah di rumahnya di Kampung Banjar, Gombak pada tahun 2000.

"Apabila saya buat keputusan untuk bertanding pilihan raya kecil hari ini, mereka menafikan keanggotaan saya dalam PAS serta menuduh saya anggota Umno," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil itu di Dewan Sri Pinang di sini, Isnin.

Beliau turut menunjukkan sijil keanggotaan PAS miliknya sebagai bukti beliau anggota parti itu.

Beliau berkata berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dalam sebuah portal berita semalam yang menafikan Mohamed Nabi Bux anggota parti itu, sebaliknya mendakwa siasatan menunjukkan beliau anggota Umno Gombak.

Sementara itu berlaku sedikit kekecohan di luar pekarangan Dewan Sri Pinang selepas proses penamaan calon apabila seorang calon Bebas Abu Backer Sidek Mohamad Zan mengeluarkan perkataan 'paria' ketika mengadakan sidang akhbar di kawasan tersebut.

Tindakan calon Bebas yang menggunakan simbol kuda itu menimbulkan kemarahan beberapa individu berketurunan India yang kebetulan berada di situ dan meminta Abu Backer Sidek memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, Abu Backer Sidek yang juga seorang peguam enggan dan mempertahankan kata-katanya itu dengan mendakwa perkataan tersebut merujuk segelintir pihak yang melakukan demontrasi jalanan, bukan kepada kaum India.

Namun alasannya tidak diterima dan berlaku pertengkaran kira-kira 10 minit sebelum seorang wakil media berbangsa India mententeramkan keadaan.

PAS, Bukit Gelugor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain