suria

"Siapa Boleh Tekan Obama?" - Najib

Najib (tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, Jumaat. Turut hadir Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menolak dakwaan kononnya beliau memberi tekanan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama supaya tidak mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila pemimpin dunia itu melawat Malaysia mulai Sabtu.

Perdana Menteri berkata, adalah mustahil untuknya memberi tekanan atau menghalang Obama daripada menemui siapa sahaja ketika kunjungannya nanti.

"Siapa boleh tekan Obama? Beliau Presiden AS, super power.

"Malaysia hanya negara kecil, mana boleh beri tekanan kepada beliau," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini, Jumaat.

Sebelum ini Anwar dilaporkan mendakwa bahawa beliau percaya Najib memberi tekanan kepada Obama supaya beliau tidak berpeluang menemui pemimpin AS itu.

Najib berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan Anwar kononnya beliau menghalang Obama bertemu dengan pemimpin pembangkang di Malaysia.

Sebelum ini, Penasihat Keselamatan AS, Susan Rice dilaporkan mengesahkan bahawa Obama tidak merancang untuk bertemu dengan Anwar yang juga Ketua Pembangkang Malaysia.

Obama akan menjadi Presiden AS pertama melawat Malaysia dalam tempoh hampir setengah abad apabila beliau tiba di Kuala Lumpur esok (Sabtu).

Artikel Lain