suria

Selangor Tidak Tolak Kemungkinan Masalah Bekalan Air Berulang

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor tidak menolak kemungkinan masalah kekurangan bekalan air, yang menyaksikan pelaksanaan tindakan catuan, akan berulang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi bagaimanapun berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari pelbagai alternatif, termasuk menjalankan program mitigasi, bagi memastikan perkara itu tidak berlaku.

"Saya tidak menolak mungkin akan berlaku (masalah kekurangan bekalan air) tetapi kita sedang usahakan beberapa program seperti program mitigasi agar sekurang-kurangnya kita dapat lihat sumber air mana yang kita dapat gunakan untuk atasi masalah ini.

"Projek 'Hybrid Off River Augmentation System' (Horas) di Sungai Selangor yang dijadualkan siap pertengahan tahun depan juga dijangka mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 juta liter sehari (MLD)," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi menghadapi kemungkinan musim kemarau yang dijangka berlaku pada Jun hingga Ogos ini, kerajaan negeri telahpun memulakan kerja mengepam air dari kolam Hang Tuah, bekas lombong bijih timah, menggunakan empat pam air berkeupayaan tinggi yang masing-masing mampu mengepam sejumlah 50 MLD air.

"Besok kita akan terima lima pam lagi dengan kapasiti 50 MLD setiap satu. Kita juga dalam perancangan untuk mendapatkan pam dengan kapasiti lebih 80 MLD sebagai persediaan untuk gunakan kolam takungan lain sebagai sumber air mentah untuk dirawat bagi memenuhi keperluan rakyat," katanya.

Mengulas status semasa kapasiti empangan di Selangor, Ahmad Yunus berkata dalam tempoh seminggu ini, terdapat peningkatan dalam kapasiti enam daripada tujuh empangan hasil operasi pembenihan awan yang dijalankan melalui Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi serta hujan semula jadi.

Beliau berkata, peningkatan yang kecil ini disebabkan kadar hujan yang banyak di sekitar hilir kawasan tadahan serta di bandar, dan bukan di empangan.

Bagaimanapun, katanya, kadar hujan yang banyak diterima oleh kawasan hilir ini membantu pengurangan kadar pelepasan air empangan ekoran paras air sungai yang mencukupi bagi keperluan loji pembersihan air (LPA).

"Sehingga hari ini, Empangan Sungai Selangor mempunyai kapasiti takungan sebanyak 91.33 juta meter padu iaitu 39.71 peratus berbanding seminggu lepas iaitu 88.62 juta meter padu (38.53 peratus), peningkatan sebanyak 1.18 peratus. 

"Seperti diumumkan sebelum ini, catuan air di seluruh Selangor akan dihentikan apabila kapasiti Empangan Sungai Selangor mencapai tahap 55 peratus. Ini kerana empangan itu adalah yang terbesar dengan kapasiti maksimum 235 juta meter padu, dan keseluruhan tadahan lembangan Sungai Selangor membekal sekitar

60 peratus keperluan air di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain