suria

SPAD Gantung Permit Bas Persiaran Terbabit Kemalangan Di Pahang

Bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di KM 70 Jalan Kuantan-Segamat dekat Ladang Sungai Jernih, Felda Chini dekat Pekan, pada 20 April lalu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung permit bas persiaran milik Syarikat Merry Holidays Sdn Bhd yang terbabit dalam kemalangan di Km70, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang pada 20 April lepas.

SPAD dalam satu kenyataan memberitahu penggantungan itu berkuat kuasa Ahad ini melibatkan tujuh permit bas persiaran terbabit yang beroperasi di laluan seluruh Semenanjung.

"Keputusan penggantungan diambil kerana pengendalinya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Tata Amalan Keselamatan Industri Pengangkutan Awam Darat oleh SPAD (SPAD-ICOP Keselamatan).

"Ia antaranya tidak memasang GPS pada kenderaan, tidak melantik pegawai keselamatan, gagal memantau kelajuan kenderaan serta gagal melakukan pemeriksaan ke atas pemandu sebelum memulakan perjalanan," kata kenyataan itu pada Jumaat.

SPAD turut memaklumkan sejak Ogos tahun lepas, pihaknya juga telah menggantung 542 permit kenderaan syarikat bas henti-henti, bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah dan kenderaan perdagangan yang terlibat dalam kemalangan, selain melanggar syarat pelesenan serta SPAD-ICOP Keselamatan.

"Sehubungan itu, SPAD memohon kepada semua pengendali agar sentiasa memberi perhatian serius kepada aspek keselamatan penumpang, pengurusan pemandu serta penyelenggaraan kenderaan mereka," katanya.

Dalam kejadian 20 April lepas itu, seorang pelancong warga Singapura berusia 30-an maut manakala 39 orang lagi mengalami kecederaan selepas bas persiaran yang mereka naiki terjunam ke dalam gaung.

Bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Singapura.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain