suria

JKDM Kutip Hasil RM8.07 Bilion

Matrang

JASIN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya memungut hasil berjumlah RM8.07 bilion, menghampiri sasaran RM9.1 bilion bagi Jan hingga Mac, kata Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa/Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili.

Beliau berkata, JKDM menyasarkan pungutan hasil RM36 bilion tahun ini.

"JKDM yakin sasaran itu dapat dicapai kerana kita telah berjaya mengutip kira-kira 90 peratus daripada sasaran bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Membasmi Jualan Rokok Tidak Sah dan Program Khidmat Bakti Masyarakat bersama JKDM di Felda Tun Ghaffar, Bukit Senggeh, di sini, Khamis.

Majlis itu dirasmikan Exco Komunikasi, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Latiff Tamby Chik. Turut hadir Pengarah JKDM Melaka, Datuk Saadon Mohd Dros.

Matrang berkata, sasaran tersebut boleh dicapai melalui usaha membanteras penyeludupan, terutama rokok dan minuman keras.

Beliau berkata, JKDM telah berjaya memungut hasil RM33.13 bilion tahun lepas berbanding RM32.2 bilion pada 2012.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 11 peratus atau RM3.5 bilion adalah pungutan cukai rokok.

"Cukai rokok merupakan penyumbang kedua terbesar selepas kenderaan, namun aktiviti penyeludupan rokok menyebabkan negara kerugian kira-kira RM1.9 bilion setiap tahun," katanya.

Matrang berkata, JKDM berjaya mematahkan 1,516 penyeludupan dengan nilai rampasan RM345 juta antara Januari hingga 20 Mac tahun ini berbanding 1,650 kes dengan nilai rampasan RM156 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

"Antara komoditi utama yang dirampas tahun ini ialah kenderaan, dadah, rokok, minuman keras, mercun dan bunga api," katanya.

Menurutnya, tahun lalu 7,050 kes penyeludupan direkodkan dengan nilai rampasan RM646.5 juta.

Kastam, Jasin, Melaka, JKDM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain