suria

SPR Nafi Jumlah Pengundi Awal Bertambah

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
KAJANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kononnya berlaku peningkatan mendadak jumlah pengundi awal dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang berbanding pilihan raya umum Mei tahun lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana rekod daftar pemilih terkini menunjukkan hanya berlaku pertambahan seramai 17 orang pengundi awal.

Menurut beliau pada PRU-13 Mei tahun lalu, jumlah pengundi awal di kalangan anggota dan pasangan ialah seramai 1,180 orang.

"Peningkatan mendadak seperti yang didakwa adalah tidak benar sama sekali kerana pada PRK ini jumlah pengundi awal ialah seramai 1,197 orang. Jadi peningkatan hanya 17...ini bagi saya angka kenaikan yang munasabah.

"Saya sangat kecewa dengan dakwaan seperti ini kerana SPR sudah sediakan data lengkap yang terbaru kepada semua parti politik  yang bertanding termasuk PKR," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau mengulas mengenai dakwaan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang melahirkan kebimbangan mengenai kenaikan mendadak jumlah pengundi awal.

"Yang menjadi tanda tanya ialah jumlah pengundi awal. Dulu hanya lebih kurang 300 lebih tapi sekarang dah naik kepada seribu lebih. Kita nampak peningkatan yang mendadak.

"Kita sangsi sebab selalunya undi awal akan berpihak kepada BN sebab tak ada pengawasan. Lepas proses mengundi dan sebelum pengiraan (undi) tak ada pengawasan sebelah kami...hanya SPR dan polis," dakwa beliau.

SPR sebelum ini dilaporkan berkata bahawa daftar pemilih yang akan digunakan bagi PRK Kajang ialah Daftar Pemilih Induk 2012 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013, Suku Tahun Kedua 2013 dan suku tahun ketiga 2013 yang dikemas kini sehingga 26 Jan 2014, iaitu sehari sebelum peletakan jawatan penyandang.

Seramai 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya itu, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.

Artikel Lain