suria

Penutupan Jambatan Gantung Tidak Jejas Pelancongan Langkawi

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (berdiri, tiga kiri) bersama Pengerusi MARA merangkap Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa bergambar kenangan bersama pemain pasukan bola sepak Kelantan selepas melancarkan jersi baharu yang akan digunakan pasukan itu sepanjang kempen Piala AFC 2014 di Busana Menara Mara di sini, Ahad. -fotoTheStar/SHAARI CHEMAT
KUALA LUMPUR: Pulau Langkawi tidak mengalami penurunan jumlah kedatangan pelancong walaupun Jambatan Gantung Panorama Langkawi yang menjadi tarikan dan terkenal diseluruh dunia itu ditutup.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pelancong ke pulau itu masih boleh menikmati pemandangan indah menerusi kereta kabel yang masih beroperasi.

"Tahun lalu saya diberitahu bahawa syarikat itu (Panorama Langkawi Sdn Bhd) mencapai keuntungan dan berupaya memberi dividen kepada kerajaan negeri, jadi tak ada penurunan (kehadiran pelancong)," kata Mohamed Nazri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan jersi baharu pasukan Kelantan yang akan digunakan pasukan itu sepanjang kempen Piala AFC 2014 di Busana Menara Mara di sini, Ahad.

Mohamed Nazri berkata, keselamatan pelancong jambatan tergantung yang menerima pengiktirafan sebagai jambatan paling menakutkan di dunia itu menjadi keutamaan.

"Boleh anda bayangkan kesan jika kita buka jambatan itu untuk orang ramai? Jika apa-apa berlaku ia akan memberi kesan kepada pelancongan Malaysia.

"Kementerian dimaklumkan oleh pihak jurutera bahawa ia terlalu berbahaya. Kita ada pilihan sama ada mahu buka dan dedahkan pelancong kepada bahaya yang mengancam nyawa atau tutup. Saya fikir baik kita tutup," katanya.

The Star melaporkan bahawa jambatan itu ditutup selama hampir 20 bulan ekoran penaggguhan peruntukan dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Jambatan yang ditutup sejak Julai 2012 itu hanya dijadual dibuka semula pada penghujung tahun ini.

Artikel Lain