suria

120 Murid Keracunan Makanan Di Kantin Sekolah

BUKIT MERTAJAM: Seramai 120 murid Sekolah Kebangsaan Tanah Liat di sini mengalami keracunan makanan selepas dipercayai memakan nasi berlauk ayam masak kicap di kantin sekolah ketika waktu rehat, Rabu.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said berkata kejadian itu disedari berlaku pada pukul 10 pagi selepas beberapa orang murid Tahun Tiga didapati muntah dan cirit-birit.

"Selepas itu lebih ramai lagi murid-murid Tahun Empat dan Lima memaklumkan kepada cikgu yang mereka turut mengalami sakit perut. Pengurusan sekolah mengambil tindakan pantas dengan menghantar 69 murid yang mengadu muntah dan cirit-birit ke Hospital Bukit Mertajam.

"Sembilan daripada mereka terpaksa ditahan di wad manakala selebihnya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya kepada pemberita semasa melawat sekolah itu Khamis.

Beliau berkata pihak sekolah dimaklumkan sembilan murid yang ditahan itu telah dibenarkan pulang lewat malam tadi.

"Menurut pihak sekolah, selepas tamat sesi persekolahan semalam, 51 lagi murid turut mengadu sakit perut, muntah dan cirit-birit serta dihantar ibu bapa masing-masing untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Mohd Zaidi berkata Jabatan Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah sedang menjalankan siasatan dan 40 murid lagi turut disoal siasat bagi mengetahui punca kejadian.

Katanya beliau difahamkan kantin sekolah telah diarah tutup serta merta selama dua minggu bagi membolehkan siasatan dijalankan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain