suria

Pijak Bendera Jepun, Anwar Enggan Mohon Maaf

Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, Rabu. -foto M.Azhar Arif/THE STAR
Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, Rabu. -foto M.Azhar Arif/THE STAR

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan memohon maaf diatas perbuatan sekumpulan penyokongnya yang memijak bendera Jepun bagi membantah halangan yang dikenakan terhadap beliau.

Bagaimanapun Penasihat PKR itu tetap menyelar tindakan kumpulan kecil berkenaan yang memijak lakaran bendera tersebut.

"Kenapa saya pula perlu minta maaf? Bukan saya yang buat...malah saya yang dihina. Orang yang hina itulah yang perlu minta maaf," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS di sini, Rabu.

Menurut Anwar, beliau menyokong hak kumpulan itu untuk berhimpun tetapi menyelar tindakan mereka dengan menyifatkan ia sebagai perbuatan melampau.

"Saya setuju mereka berhimpun di hadapan Kedutaan Jepun tetapi membantah perbuatan memijak bendera tersebut. Saya fikir tidak perlu buat begitu," katanya.

Pada Selasa, sekumpulan penyokong Anwar bertindak agresif memijak dan membakar lakaran bendera Jepun kerana berang dengan tindakan kerajaan negara berkenaan yang menghalang pemimpin mereka memasuki Jepun pada Ahad lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain