suria

Dr Pornthip Dipanggil Sebagai Saksi Kes Saman Terhadap SPRM

KUALA LUMPUR: Keluarga Teoh Beng Hock yang memfailkan saman kecuaian terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 13 yang lain, akan memanggil pakar patologi dari Thailand Dr Pornthip Rojanasunand sebagai saksi utama.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memberitahu pemberita demikian selepas kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada Isnin di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Rosnaini Saub.

Gobind berkata pihak plaintif akan memanggil 11 saksi manakala defendan akan memanggil 10 saksi.

Katanya mahkamah turut menetapkan tiga hari mulai 19 Nov untuk perbicaraan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada seorang anggota Exco kerajaan Selangor, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM yang berada di tingkat 14, bangunan sama.

Pada 3 Oktober tahun lepas, bapa mendiang Teoh Leong Hwee, ibunya Teng Shuw Hoi, tunang Teoh, Soh Cher Wei dan anak lelakinya, Teoh Er Jia memfailkan saman itu terhadap SPRM, kerajaan dan 12 yang lain kerana menyebabkan mereka berada dalam kesedihan dan hilang tempat bergantung.

Kesemua defendan menafikan dakwaan plaintif dan sebaliknya mendakwa kematian Teoh disebabkan kecuaian sendiri. - BERNAMA

Artikel Lain