suria

Kos Projek Jambatan P.Pinang Kedua Tetap Dalam Lingkungan RM4.5 Bilion - JKSB

GEORGE TOWN: Kos projek Jambatan Pulau Pinang Kedua masih dalam anggaran perbelanjaan RM4.5 bilion, meskipun beberapa ujian keselamatan telah dijalankan, kata pemegang konsesi jambatan itu, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB).

Pengarah urusannya, Datuk Ir Dr Ismail Mohamed Taib, berkata sebelum ini ada penjimatan sebanyak RM50 juta, yang kini digunakan bagi pengurusan keselamatan, keperluan kualiti serta pembangunan landskap.

"Kos projek ini masih dalam anggaran perbelanjaan RM4.5 bilion," katanya kepada pemberita selepas ujian bebanan di jambatan sokongan kabel projek itu, di sini Khamis.

Ismail berkata Jabatan Pulau Pinang Kedua sudah 99 peratus siap dan JKSB menjangka ia siap sepenuhnya menjelang 8 November.

Tarikh pembukaan akan diumumkan selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya.

Menurut Ismail, kerja-kerja yang belum siap ialah sambungan pengembangan serta sentuhan kecil-kecilan dan akhir yang berkemungkinan siap menjelang akhir bulan ini.

Apabila siap, katanya, JKSB akan menghantar laporan untuk diperakui oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), sebelum jambatan itu dibuka kepada orang ramai.

Jambatan Pulau Pinang Kedua adalah sepanjang 24 kilometer, dan 16.9 kilometer daripadanya berada di atas air. Ia menghubungkan Batu Maung di pulau dengan Batu Kawan di tanah besar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain