Cuepacs Minta Jawatan Pembantu Tadbir Diganti - Semasa | mStar

Cuepacs Minta Jawatan Pembantu Tadbir Diganti

KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu nama jawatan Pembantu Tadbir diganti kepada Pegawai Khidmat Tadbir yang secara tidak langsung boleh meningkatkan gred seramai 65,000 penyandang jawatan itu di seluruh negara.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata, penyandang jawatan itu merupakan tenaga pelaksana utama dalam perkhidmatan awam sama ada mereka berkhidmat di bawah kerajaan persekutuan, negeri, badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan dan mereka tidak sewajarnya disebut sebagai Pembantu.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-11 Kesatuan Kebangsaan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia di sini hari ini, beliau berkata Cuepacs telah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai pertukaran nama jawatan itu serta meningkatkan gred jawatan berkenaan yang pada masa ini berada pada gred antara 17 dan 26.

Beliau berharap JPA dapat memberi pertimbangan dan respons sewajarnya atas permohonan itu sebelum tarikh konvensyen tahunan Cuepacs selama tiga hari mulai 17 Disember ini bagi membolehkan keputusan yang positif atas cadangan itu dimaklumkan pula kepada seluruh kakitangan berkenaan.

"Lebih diharapkan agar perkara ini dapat diketahui semasa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membentangkan bajet negara pada 25 Oktober akan datang," katanya.

Omar berkata Cuepacs juga turut mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi kelulusan pinjaman perumahan kepada kakitangan perkhidmatan awam mengikut harga rumah, bukan mengikut tangga gaji mereka dengan kadar faedahnya dikurangkan kepada satu peratus berbanding empat peratus sekarang.

Langkah itu dapat mengurangkan bebanan kakitangan awam yang membeli rumah berikutan harga rumah yang semakin meningkat, katanya.

Mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2012, beliau berkata Cuepacs amat terkejut dengan laporan itu kerana ia meletakkan imej negatif kakitangan perkhidmatan awam yang lemah menjalankan tugas sehingga membazirkan wang kerajaan.

Sehubungan itu beliau berharap segala kelemahan oleh sebarang agensi sebagaimana yang didedahkan dalam laporan berkenaan dapat diperbetulkan segera supaya perkara itu tidak berulang dalam laporan tahun 2013 akan datang. BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain