suria

Jamil Khir Akan Bertanding Ketua Bahagian Dan Majlis Tertinggi

YAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhasrat bertanding dua jawatan dalam pemilihan Umno bulan depan - ketua Umno Bahagian Jerai dan Majlis Tertinggi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat sebagai usaha mengukuhkan lagi Umno Bahagian Jerai.

"Saya lihat perlunya kesinambungan sebagai anggota Parlimen Jerai untuk terajui Umno kawasan ini. Dari segi penyaluran dana dan usaha untuk mengukuhkan parti khusus di kawasan ini.

"Saya yakin bila kita susun strategi parti dari sekarang kita mampu mengukuhkan kedudukan Umno dan mampu memberi kemenangan pada pilihan raya yang akan datang," katanya kepada pemberita di Sungai Limau dekat sini, Jumaat.

Jawatan Ketua Umno Bahagian Jerai kini dipegang Datuk Shuhaimi Abdullah.

Jamil Khir berkata, sekiranya terpilih beliau mempunyai agenda untuk membangunkan modal insan dalam Umno Bahagian itu.

Sejajar dengan itu beliau merancang menubuhkan sebuah pusat latihan untuk Imam masjid di daerah Yan iaitu sebuah pusat latihan untuk imam negeri-negeri di kawasan utara.

Beliau berkata, sebagai pemimpin dalam kerajaan yang ditunjangi Umno, beliau juga berhasrat untuk membina sebuah kompleks Umno bahagian itu yang menjadi pusat aktiviti setempat penduduk.

"Orang ramai boleh buat pelbagai aktiviti di situ dengan program keagamaan, tuisyen dan perhimpunan rakyat," katanya.

Mengenai hasrat beliau bertanding jawatan MT, Jamil Khir berkata beliau mahu mewakili parti dalam membawa agenda hal ehwal agama, selain untuk mengekalkan jawatan sebagai pengerusi Biro Agama Umno. - BERNAMA

Artikel Lain