suria

Mahkamah Putuskan Kematian William Sebagai Nahas

PETALING JAYA: Mahkamah Koroner di sini memutuskan punca kematian kanak-kanak berusia enam tahun William Yau Zhen Zhong yang ditemui terapung di Sungai Sireh Pelabuhan Klang 24 Januari lalu adalah disebabkan nahas.

Keputusan mahkamah pada Khamis telah menolak teori yang mengatakan bahawa kanak-kanak itu didera oleh keluarganya atau dibunuh.

Koroner Mohd Hezri Shaharil berkata mahkamah menolak penglibatan unsur-unsur jenayah termasuklah daripada ibu bapanya.

Beliau bagaimanapun berkata, mahkamah tidak menolak kemungkinan terdapat kecuaian oleh ibu bapa.

"Mahkamah memutuskan punca kematian William adalah disebabkan oleh nahas dan kes itu ditutup," katanya semasa menyampaikan keputusan penghakimannya.

Mahkamah juga menolak bahawa William telah diculik dan dibunuh.

Seramai 21 saksi telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan selama 12 hari, yang bermula pada 12 Mac dan berakhir pada 31 Mei lalu.

Inkues itu dijalankan bagi menentukan punca kematian kanak-kanak itu.

William dilaporkan hilang di Putra Height, Subang Jaya, pada 16 Januari lalu.

Bapanya Yau Kok Kang, 32, dan ibu Goh Ying Ying, 26, telah pergi ke kedai menjual alat elektrik di Putra Height dan meninggalkan William dengan abangnya, Eric dan adik bongsunya Cindy, dalam kereta Toyota Hilux pada malam itu.

William dikatakan telah keluar dari kereta untuk mencari ibunya selepas Cindy menangis.

Dia ditemui terapung oleh nelayan Satarudin Kamal, 45, yang merupakan saksi ke-14, berhampiran jeti pada 24 Januari pada kira-kira pukul 6.30 petang.

Artikel Lain