suria

Pengumuman Kabinet Sama Tarikh Dengan Hari Lahir TPM

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri buat penggal kedua merupakan hadiah paling bermakna bagi beliau yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 pada Rabu. Pelantikan beliau diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan senarai Menteri Kabinet baharu di bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Muhyiddin juga dilantik sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi.

Dilahirkan pada 15 Mei 1947, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Maharani, Muar, serta memperoleh Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dan Pengajian Melayu dari Universiti Malaya pada 1970.

Muhyiddin mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman pada 1972 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Beliau memulakan karier politiknya sebagai bendahari Umno Bahagian Muar-Pagoh, sebelum dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno Pagoh dan Naib Ketua Umno Bahagian itu pada tahun 1975.

Beliau kemudiannya dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti pada tahun 1987.

Pada 1978, Muhyiddin dinamakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Pagoh dan seterusnya menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal.

Bintangnya dalam arena politik semakin menyinar apabila dilantik menjadi Menteri Besar Johor selama sembilan tahun bermula 1986 apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang sehingga tahun 1995.

Beliau kemudiannya kembali bertanding Parlimen Pagoh pada 1995 dan mengekalkan kerusi itu hingga sekarang.

Pada pemilihan Umno Mac 2009, Muhyiddin dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno apabila memperoleh 1,575 undi.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, Muhyiddin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh buat penggal kelima apabila menewaskan calon PAS, Mohamad Rozali Jamil dengan majoriti 12,842 undi.

Dalam Kabinet, beliau dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 1995 dan empat tahun kemudian dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di mana beliau memainkan peranan penting memperkenal harga siling beberapa barangan keperluan dan membanteras CD dan VCD cetak rompak.

Rombakan Kabinet pada 2004 ekoran pelantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri menyaksikan Muhyiddin memegang portfolio Menteri Pertanian sehingga kementerian itu dijenamakan semula sebagai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dua bulan kemudian.

Selepas pilihan raya umum Mac 2008, beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran pada 10 April 2009.

Artikel Lain