suria

‘Tian Chua Tidak Dibenar Masuk Ke Sabah Atas Faktor Keselamatannya’ – Pejabat Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dihalang memasuki Sabah atas faktor keselamatannya, kata Pejabat Hal Ehwal dan Penyelidikan Negeri Sabah di Jabatan Ketua Menteri.

Setiausahanya, Dr Mohktar Ajam berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah dengan Tian Chua berada di Sabah sebelum kenyataannya mengenai pencerobohan kumpulan militan Sulu di Lahad Datu menjadi sebahagian daripada drama politik.

“Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan beliau yang mengecewakan ramai pihak di Malaysia termasuk Sabah, menyebabkan kita percaya bahawa kehadiran beliau di sini boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan peribadi beliau dan mungkin mencetuskan kekecohan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

“Tian Chua telah masuk dan keluar Sabah banyak kali.

“Begitu juga dengan para pemimpin PKR seperti Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang, yang dibenarkan datang ke sini dan bergerak bebas,” katanya.

“Bagaimanapun, apabila anda mempunyai seorang individu yang membangkitkan kemarahan orang ramai, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Tian Chua, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 11.05 pagi Ahad tidak dibenarkan memasuki Sabah.

Artikel Berikut

Artikel Lain