suria

[V] “Ini penantian tujuh tahun saya” - Nelydia Senrose tak putus doa timang cahaya mata

SABAR menanti untuk menimang cahaya mata sendiri, pelakon Datin Nelydia Senrose menganggap kehamilan pertamanya sebagai rezeki yang cukup indah selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Berkongsi luahan rasa syukur, Nelydia atau Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 32, bagaimanapun lebih selesa untuk tidak terlalu bercakap tentang kehamilannya termasuk usia kandungan.

“Perasaan memang tak sangka. Semua orang tahu ini adalah penantian tujuh tahun saya.

Nelydia umum bakal sambut kelahiran cahaya mata pertama. 

“Alhamdulillah, saya percaya rezeki Allah datang tepat pada waktunya,” katanya kepada mStar.

Nelydia berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis perasmian Restoran Seminyak di KLGCC Mall, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Tambah pelakon ini, sebagai pasangan berkahwin, dia dan suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, tidak pernah putus berdoa dan meletakkan harapan agar mereka dikurniakan cahaya mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Nelydia Senrose umum hamil anak pertama, ‘hadiah’ sempena ulang tahun perkahwinan 

ARTIKEL BERKAITAN: “Tahniah Datin Nelydia” – Ucapan jurusolek cetus tanda tanya

“Saya juga tak pernah putus doa. Setiap kali saya jumpa orang, saya minta mereka doakan.

“Kita tak tahu doa siapa yang dimakbulkan. Saya percaya semua ini adalah aturan Allah,” ujarnya.

Nelydia dalam masa sama turut menitipkan kata-kata semangat buat mereka yang masih menanti zuriat agar tidak berputus asa.

Nelydia dan suami tidak pernah putus berdoa dikurniakan cahaya mata sendiri. 

Malah, dia juga percaya setiap rezeki akan tiba pada masa yang terbaik.

“Percayalah, apa yang kita nak mungkin bukan pada waktu kita, tetapi pada waktu yang Allah tentukan.

“Sentiasa bersangka baik dan berfikiran positif. Insya-Allah, bila tiba masanya, semuanya akan berjalan dengan lancar,” ucapnya.

Untuk rekod, Nelydia mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Mohd Hafez Halimi pada 6 April 2019.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain