suria

Permohonan Secara Online Rumah SPNB Dibuka

KUALA LUMPUR: Golongan belia berusia 35 tahun ke bawah dengan pendapatan kurang RM5,000 mulai Rabu boleh memohon untuk memiliki rumah pertama secara online di dua projek perumahan kendalian Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron berkata dua projek perumahan itu ialah Laguna Biru (Fasa 2) di Sungai Buloh dan Alam Prima (Fasa 2) di Shah Alam merupakan program Rumah Pertama Rakyat Rumah Mampu Milik dan dijangka siap antara dua hingga tiga setengah tahun.

Beliau berkata sebanyak 1,870 unit rumah ditawarkan iaitu 1,224 unit rumah di Laguna Biru (Fasa 2) dengan keluasan 850 kaki persegi seunit manakala selebihnya iaitu 646 unit rumah dibina di Alam Prima yang berkeluasan 904 kaki persegi.

Katanya, harga jualan bagi seunit rumah di Laguna Biru (Fasa 2) ialah dari RM145,000 dan Alam Prima (Fasa 2) pula dijual pada harga RM190,000.

Tarikh tutup permohonan akan dibuat 10 minggu dari sekarang, katanya kepada pemberita selepas melancarkan pendaftaran secara online bagi kedua-dua projek perumahan itu di sini.

Pendaftaran permohonan itu boleh dibuat menerusi laman web SPNB di www.spnb.com.my, katanya.

Walaupun pelancaran secara rasmi dibuat hari ini, namun SPNB telah menerima permohonan sejak pra pendaftaran dilancarkan pada Okt 2012 dan sehingga 27 Feb, 2,325 permohonan diterima untuk projek perumahan Laguna Biru manakala 4,212 permohanan untuk Alam Prima. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain