suria

Hanya Satu Kredit Dalam SPM Untuk Masuk Ke Kolej Komuniti - Mohamed Khaled

PASIR GUDANG: Mulai tahun ini, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya memerlukan kelulusan minima satu kredit untuk melanjutkan pengajian di kolej komuniti berbanding kelulusan tiga kredit sebelum ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia merupakan antara penambahbaikan dan inisiatif baharu kementerian terhadap kolej komuniti dalam usaha menjayakan dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

"Selain itu, golongan yang sudah bekerja boleh menyambung pengajian peringkat sijil dan diploma di kolej komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Mesra Komuniti 1Malaysia dan Pelancaran Usahasama Strategik Kolej Komuniti bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan industri peruncitan, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, mulai tahun ini, tempoh pengajian untuk Sijil Kolej Komuniti (SKK) berterusan atau jangka panjang juga akan dipendekkan kepada minimum 16 bulan berbanding 24 bulan sebelum ini.

"Pada tahun lalu sahaja seramai 258,949 orang telah menyertai 11,855 program dan kursus pembelajaran sepanjang hayat di kolej komuniti dan pada tahun ini pula sebanyak 221,660 tempat telah disediakan dalam 11,158 buah program dan kursus sepenuh masa dan jangka pendek di seluruh negara," katanya.

Mohamed Khaled berkata dalam usaha menjamin pelajar lepasan institusi itu mendapat tempat dalam pasaran kerja, kerjasama strategik turut dijalinkan dengan pihak industri untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi.

Ia termasuk jalinan kerjasama dengan lima koridor wilayah pembangunan ekonomi iaitu Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (Score).

Hasilnya hampir 76 peratus daripada 27, 000 lepasan insitusi itu setiap tahun berjaya memperoleh peluang pekerjaan, katanya.

Mohamed Khaled berkata kerajaan bercadang untuk membuka empat lagi kolej komuniti tahun ini iaitu di Kota Marudu, Tambunan, dan Penampang di Sabah, manakala sebuah lagi di Sarikei, Sarawak. BERNAMA

Artikel Lain