Gelaran "Huguan Siou Malaysia": KDCA Desak Anwar Mohon Maaf - Semasa | mStar

Gelaran "Huguan Siou Malaysia": KDCA Desak Anwar Mohon Maaf

KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) mendesak permohonan maaf daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Ranau dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyentuh sensitiviti dan kesucian adat masyarakat Kadazandusun di Sabah.

Ketika membuat gesaan itu, Setiausaha Agung KDCA Suman Yasambun berkata gelaran 'Huguan Siou' yang bermaksud 'Pemimpin Agung' secara eksklusif dikhaskan dan diberi kepada seorang pemimpin Kadazandusun Murut.

Oleh itu, katanya jika benar seperti dilaporkan media baru-baru ini bahawa PKR Ranau memberi atau mengisytiharkan Anwar sebagai Huguan Siou Malaysia, tindakan itu menyalahi budaya dan tersasar daripada amalan serta tradisi lazim Kadazandusun.

"Ia menghina dan menyinggung perasaan kaum Kadazandusun. Hakikatnya ini adalah tindakan yang akan menguatkuasakan hukum 'solupi', iaitu membawa sumpahan terhadap seseorang atau mereka yang merampas struktur kepimpinan sedia ada dalam lingkungan komuniti Kadazandusun, terutamanya dalam hubungan dengan institusi Huguan Siou," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Suman berkata 'Huguan Siou' adalah institusi yang merangkumkan semangat perpaduan, keberanian dan keazaman KDM.

"Beliau adalah penjaga adat, norma, artifak dan tradisi KDM yang dirayakan setiap tahun menerusi Hari Kaamatan," katanya.

KDCA merangkumi dan mewakili 40 kumpulan etnik di Sabah.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata saga Huguan Siou menunjukkan Anwar jahil tentang budaya pelbagai kumpulan etnik di Sabah.

"Beliau (Anwar) hanya berminat dengan kuasa politik dan menghina masyarakat Sabah. Bagaimana masyarakat Sabah mahu mempercayai beliau?," katanya.

Dalam hubungan ini, Salleh berkata Anwar perlu memohon maaf secara terbuka kepada kaum Kadazandusun di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun berpendapat gelaran Huguan Siou dianggap 'suci' oleh komuniti KDM dan hanya boleh diberi kepada kalangan komuniti berkenaan.

Beliau berkata Malaysia sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, agama serta budaya dan rakyatnya perlu saling menghormati sensitiviti adat dan budaya satu sama lain.

"Orang yang memberi gelaran ini mungkin cuba meraih kepentingan politik tetapi orang yang menerimanya pula sama ada jahil atau memang tidak sensitif.

Bagaimanapun perkara ini tidak dapat diterima daripada seseorang yang berpengalaman dalam politik dan kerajaan seperti beliau," katanya.

Beliau berkata gelaran Huguan Siou tidak seharusnya digunakan sebagai alat politik untuk memenuhi agenda seseorang.

"Tanpa mengira perbezaan hubungan politik dan perselisihan dalam banyak perkara, masyarakat Sabah mesti bersatu dalam mengiktiraf serta menghormati warisan dan adat budaya kita," katanya.

Masidi, yang berasal dari Ranau, berkata sebarang tindakan yang dianggap memperkecilkan institusi Huguan Siou adalah satu tindakan memperkecilkan warisan budaya Sabah, dan menambah agenda politik perlu sentiasa memberi laluan dengan mengutamakan kepentingan masyarakat Sabah.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk VK Liew berkata hanya ada seorang sahaja Huguan Siou di Sabah iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata pengisytiharan Anwar sebagai Huguan Siou adalah penghinaan kepada komuniti KDM di Sabah. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keadaan Sekitar Lahad Datu Terkawal

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain