suria

Ahli Perniagaan Hadapi Enam Pertuduhan Tipu

SUNGAI PETANI: Seorang ahli perniagaan pada Selasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas enam pertuduhan menipu Pejabat Daerah Kuala Muda dengan mengemukakan enam tuntutan palsu berjumlah RM28,000.

Navabsa Ibramshah, 45, dari bandar ini dituduh melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Daerah Kuala Muda di sini pada 16 Disember 2010 dan lima lagi pada 29 Disember 2011.

Mengikut kertas pertuduhan, ahli perniagaan itu dituduh mengemukakan enam invois tuntutan mengandungi butir-butir matan palsu yang dalam pengetahuannya kepada pembantu tadbir Pejabat Daerah Kuala Muda, R. Razami Majid dengan niat hendak memperdaya prinsipal Razami iaitu Pejabat Daerah Kuala Muda.

Bagi pertuduhan pertama, Navabsa dituduh menuntut melalui invois bertarikh 15 Dis 2010 bernilai RM5,000 bagi pembekalan peralatan pemadam api untuk Persatuan Bomba Sukarela Semeling.

Pertuduhan kedua, bagi pembekalan bahan binaan untuk membaiki bangunan tembok Persatuan Penganut Dewa Fu De Ci Sungai Petani bernilai RM3,000 pada 29 Disember 2011.

Bagi pertuduhan ini, Navabsa juga dituduh dengan curangnya mendorong Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Muda, Illias Shuib meluluskan tuntutan itu.

Tuntutan ketiga bersabit menaiktaraf tandas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Min Terk, Sungai Petani bernilai RM7,000; tuntutan RM3,000 bagi membekal peralatan pejabat untuk penduduk Batu 2 Sungai Petani.

Bagi pertuduhan kelima, ahli perniagaan itu membuat tuntutan bernilai RM5,000 bagi pembekalan peralatan pemadam api Bomba Sukarela Sungai Petani dan keenam menuntut RM5,000 bersabit pembekalan peralatan menjayakan program Persatuan Teo Chew Jalan Sekerat, Sungai Petani.

Navabsa dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Undang-undang Malaysia Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Kesalahan mengikut akta ini ialah penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai matan palsu.

Ahli perniagaan itu menghadapi pertuduhan pilihan pertama sehingga keenam. Mengikut pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 akta sama.

Kesalahan mengikut akta ini ialah penjara tidak boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Navabsa yang diwakili peguambela, Kuldeep Singh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Khalid Ab Karim manakala Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Feiza Fazlin Fandi melakukan pendakwaan.

Khalid mengenakan ikat jamin berjumlah RM12,000 iaitu RM2,000 bagi setiap kes selepas Kuldeep membuat rayuan dan menetapkan 19 Februari untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain