suria

Insiden Wartawan Dipukul, BN Pulau Pinang Mahu Kejadian Sama Tidak Berulang

Ang Kean Siang menunjukkan kesan luka akibat dipukul.
Ang Kean Siang menunjukkan kesan luka akibat dipukul.
Ang Kean Siang menunjukkan kesan luka akibat dipukul.

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menuntut kerajaan negeri memberi jaminan bahawa insiden keganasan yang dilakukan oleh anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ke atas seorang wartawan akhbar berbahasa Cina di sini, Ahad tidak berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Politik BN negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan berkata perbuatan memukul wartawan berkenaan tidak sepatutnya terjadi kerana anggota PPS dibentuk oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjaga keselamatan orang awam.

"Sepatutnya anggota PPS bertanggungjawab membantu menjaga keselamatan dan kita mahu kerajaan negeri meminta maaf di atas kejadian itu dan memberi jaminan ia tidak berulang lagi di masa akan datang," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, Isnin.

Dr Teng berkata individu yang dikasari itu ialah seorang wartawan yang menjalankan tugas dan tanggungjawab serta apa yang berlaku itu menimbulkan kebimbangan kalangan orang ramai.

Beliau mengulas kejadian wartawan akhbar Guan Ming Daily, Ang Kean Siang, 32, yang cedera dipukul empat lelaki ketika membuat liputan di sebuah pangsapuri di Jalan Perak di sini, pukul 1.30 pagi Ahad.

Selain dipukul di bahagian muka dan badan, Ang mendakwa kameranya juga turut dirosakkan oleh kumpulan lelaki berkenaan yang tidak berpuas hati kerana beliau mengambil gambar seorang wanita ditemui mati, dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri.

Dr Teng yang juga pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata penubuhan PPS itu memang dialu-alukan, bagaimanapun ia perlulah mengikut peraturan atau undang-undang supaya mempunyai matlamat yang jelas.

"Kerajaan negeri perlu buat kajian sebelum menubuhkan pasukan sokongan untuk jaga keselamatan. Perlu ada akta tertentu agar setiap anggota yang dipilih dan menyertai pasukan itu lebih bertanggungjawab dan tidak bertindak sesuka hati," katanya. -- BERNAMA

Artikel Lain