suria

Ramai Ibu Bapa Campur Tangan Dalam Proses Cari Pekerjaan Anak-Anak

PETALING JAYA: Mereka pernah menguruskan segala-galanya tentang sekolah anak-anak mereka bermula dengan kerja rumah, projek kelas sehinggalah aktiviti kokurikulum.

Kini, ibu bapa ini memerincikan lagi peranan mereka dengan melibatkan diri dalam urusan pekerjaan anak-anak, dengan campur tangan dalam pencarian kerja dan proses merekrut.

Kaji selidik Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia dengan inisiatif bersama 'Sunday Star' mendapati bahawa lebih separuh daripada syarikat-syarikat yang ditinjau berdepan dengan penglibatan ibu bapa dalam proses merekrut: dengan peratusan menunjukkan "sekali-sekala" 45.7 peratus, "kadang-kadang" 22.6 peratus" dan "kerap" 1.2 peratus.

Kebanyakan syarikat mempunyai pengalaman berdepan penglibatan ibu bapa dalam proses mencari kerja yang mana kebanyakannya terlibat dalam proses mencari maklumat bagi mendapatkan latar belakang syarikat (50.4 peratus), menghadiri pameran kerjaya (40.3 peratus) serta mengagumkan 60.4 peratus mendakwa mereka telah menerima resume yang dihantar oleh ibu bapa dan 25.2 peratus ibu bapa mengatur temuduga untuk anak-anak mereka.

Kaji Selidik 'Penglibatan Ibu Bapa dalam Proses Merekrut' telah dijalankan oleh 201 anggota MEF, yang terdiri daripada 109 syarikattempatan dan 92 syarikat multinasional melibatkan sehingga 91,500 pekerja.

Sehingga 43.9 peratus daripada syarikat-syarikat ini berdepan dengan ibu bapa yang melobi mereka untuk mengambil anak-anak mereka bekerja, manakala 13.7 peratus mereka berdepan dengan ibu bapa yang sangat teruja sehingga menghadiri temuduga pekerjaan dengan anak-anak mereka.

Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat ini tidak diberikan tekanan, dengan 63.1 peratus membuktikan bahawa campur tangan ibu bapa tidak akan menjejaskan keputusan pengambilan mereka.

Walaupun kebimbangan ibu bapa ini mungkin difahami, ia memberi cerminan negatif ke atas pekerja yang berpotensi, kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan.

"Ramai ibu bapa melibatkan diri dalam proses pengambilan anak-anak mereka bekerja kerana pasaran kerja semasa sangat kompetitif.

"Walau bagaimanapun, isunya sama ada pemohon pekerjaan itu mampu untuk bekerja sendiri sekiranya mereka ditawarkan pekerjaan.

"Majikan sentiasa mencari calon-calon yang boleh bekerja secara bebas dan tidak hanya sentiasa menunggu arahan pihak atasan," katanya.

Menurut Kajian Pengesanan Siswazah oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, sehingga September kira-kira 40,000 graduan di negara ini masih menganggur.

Ketua MyStarJob Network Sdn Bhd, anak syarikat Star Publications (M) Bhd, Serm Teck Choon yang menjalankan urusan kerjaya melalui portal myStarjob.com, The Star, berkata mempunyai ijazah pada masa sekarang adalah sangat biasa.

"Memandangkan pasaran kerja semakin sengit, graduan baru perlu benar-benar cemerlang kerana perbezaan di kalangan mereka tidak banyak."

Shamsuddin, bagaimanapun memberi jaminan majikan mempunyai objektif apabila mengambil pekerja.

"Akhirnya, ia bergantung kepada sama ada calon yang memenuhi keperluan syarikat," katanya.

Pengurus Pentadbiran dan Sumber Manusia Supratechnic (M) Sdn Bhd Sue Lim menganggap mereka yang menemani anak-anak untuk temuduga kerja sebagai "kesalahan besar dalam aspek keibubapaan" berkata: "Ia menunjukkan calon-calon tidak matang atau bebas sebagai pekerja dewasa. Biasanya, calon-calon itu sangat manja, tidak boleh bekerja berjam-jam atau menyesuaikan diri dengan syarikat, terutamanya melibatkan sesuatu dengan kadar segera."

Sesetengah ibu bapa pula sanggup menggunakan "kabel", kata Pengurus Projek Mydin Mohamed Holdings Berhad, Hussain Ally, bagi membolehkan anak-anak mereka diambil berkerja.

"Terdapat sesetengah ibu bapa memberitahu kita mereka mengharapkan anak-anak mereka mendapat keutamaan untuk jawatan kerana mereka sendiri bekerja di peringkat pengurusan atau rapat dengan pengarah syarikat. Ada juga ibu bapa mendapatkan ahli politik supaya kami menggaji anaknya."

Anda boleh bayangkan reaksi ibu bapa jika anak-anak mereka tidak diambil berkerja dengan 11.5 peratus berkata ibu bapa akan mengadu jika anak-anak mereka tidak mendapat kerja.

Lebih buruk lagi, tambah Hussain, jika anak mereka diambil ibu bapa ini mungkin terus menggunakan "pengaruh" mereka untuk campur tangan di tempat kerja.

"Sebagai contoh, mereka akan bertanya mengapa anak-anak mereka perlu bekerja lebih masa atau perjalanan, mengapa gaji mereka dipotong dan cuba menyelesaikan masalah di tempat kerja."

Sehingga kajian diumumkan, sesetengah ibu bapa masih tidak berhenti terlibat walaupun selepas anak-anak mereka diambil berkerja dengan 22.3 peratus syarikat berkata mereka terpaksa berunding gaji dan faedah dengan ibu bapa pekerja baru yang direkrut.

Artikel Lain