suria

Projek Batu Caves: Berhenti Salahkan Satu Sama Lain - Karpal

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Karpal Singh turut bersuara bersama-sama ahli politik menggesa kerajaan Selangor menghentikan kontroversi projek kondominium 29 tingkat berhampiran Batu Caves.

Beliau berkata permainan menyalahkan satu sama lain sama ada Barisan Nasional atau kerajaan negeri, Pakatan Rakyat yang mesti bertanggungjawab perlu dihentikan.

Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) berkata beliau menyokong penuh kenyataan Pengerusi Jawatankuasa kuil Batu Caves Datuk R. Nadarajah Datuk bahawa perkara itu akan dibawa ke mahkamah jika tiada tanda ia akan dihentikan dalam tempoh sebulan.

"Sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah, saya akan menawarkan perkhidmatan pro bono untuk memastikan kejayaan kehakiman memihak kepada jawatankuasa kuil. Biarlah ia difahami dengan jelas," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Batu Caves akan menghadapi risiko jika projek kondominium diteruskan.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Pencinta Alam Selangor Lim Teck Wyn berkata projek itu akan mempercepatkan proses hakisan semulajadi bongkah batu kapur.

Karpal berkata batu kapur yang membentuk Batu Caves berusia sekitar 400 juta tahun itu sendiri menjadikan ia satu aset yang tidak ternilai yang harus dipelihara.

"Sambutan perayaan Thaipusam sejak tahun 1892 setiap tahun bukan sahaja menarik penduduk tempatan tetapi warga asing. Satu warisan yang terkenal di seluruh dunia tidak harus dibenarkan untuk dikorbankan untuk pembangunan material," katanya.

Artikel Lain