suria

Kelulusan Untuk Ke Luar Negara: Cuepacs Minta Penjelasan

PETALING JAYA: Cuepacs mahu kerajaan memberi penjelasan terhadap pekeliling yang menyatakan bahawa pekerja awam yang ingin melancong ke luar negara atas sebab-sebab peribadi mesti terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Setiausaha kementerian masing-masing.

Surat Pekeliling berkuat kuasa 1 Oktober itu juga menyatakan bahawa semua pegawai awam harus mengisytiharkan bahawa mereka mempunyai keupayaan kewangan yang mencukupi untuk lawatan.

Ia telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, dengan tujuan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata beliau akan menemui Dr Ali untuk mendapatkan penjelasan pada Rabu.

"Jika perjalanan ke luar negara untuk tujuan rasmi, saya faham," kata Omar.

"Tetapi saya keliru mengapa penjawat awam perlu kelulusan apabila mereka membuat perjalanan peribadi ke luar negara."

Beliau mencadangkan Dr Ali memberi taklimat kepada penjawat awam berhubung perintah baru tersebut, kerana ramai yang tidak menyedarinya.

Sementara itu, pekerja di Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya, yang hanya mahu dikenali sebagai Nora berkata peraturan baru itu adalah "tidak perlu" dan akan "menyusahkan" pemohon yang ingin bercuti.

"Sebelum ini, kita hanya perlu mengemukakan permohonan kepada ketua jabatan masing-masing.

"Itu sahaja akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk diproses," katanya, sambil menambah bahawa ia juga menyusahkan penjawat awam yang mempunyai keluarga di negara-negara sempadan seperti Thailand dan Singapura.

"Saya takut tempoh kelulusan sekarang akan mengambil masa yang lama kerana kuasa kini jatuh kepada Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha kementerian," tambah Nora, yang merancang untuk melawat Seoul bulan depan.

Dari sudut pandangan guru, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berkata ia adalah amalan biasa di kalangan mereka untuk memberikan butiran untuk mendapatkan kelulusan sebelum membuat lawatan peribadi di luar negara.

"Perkara ini untuk tujuan keselamatan sekiranya berlaku kemalangan kepada mereka semasa di luar negara.

"Pegawai atasan mereka - yang akan dimaklumkan di mana mereka berada dan bila mereka sepatutnya pulang ke rumah boleh berhubung dengan pihak kedutaan di negara asing," katanya.

Pekeliling baru juga memerlukan seorang pegawai yang bercadang untuk melancong ke luar negara untuk mengisytiharkan bahawa lawatan itu tidak ditaja oleh mana-mana syarikat individu atau swasta.

Pegawai awam yang membuat lawatan kerap ke negara jiran juga perlu memohon untuk kelulusan.

Artikel Lain