suria

Panglima ATM: Integriti Pasukan ATM Tidak Perlu Diragui

KUALA LUMPUR: Dalam mengharungi cabaran global dunia ketenteraan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selaku pendukung kedaulatan negara,sentiasa memastikan integriti setiap pegawai dan anggota pasukan berada pada tahap tertinggi.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Md Zain berkata pelaksanaan prinsip integriti, akauntabiliti, amanah dan ketelusan yang perlu dipraktik oleh setiap warganya telah membantu dalam mengekalkan indeks integriti anggota dan pegawai.

Beliau berkata selain empat prinsip itu, pengamalan Sistem Pemerintahan Rejimental (SPR), Kod Etika ATM dan Pelan Tindakan Pelaksanaan Pelan Integriti Nasional ATM telah menjadikan pasukan semakin diyakini pelanggan dan pihak yang berkepentingan terutama terhadap keupayaan pasukan dalam melaksanakan amanah negara.

"Integriti anggota ATM tidak harus diragui kerana ia berada pada tahap yang tinggi, dan berdasarkan program yang dilakukan, ia jelas menampakkan kesungguhan kita dalam membentuk satu angkatan yang tidak perlu dipersoal lagi dari segi integritinya," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Katanya ATM tidak menafikan ada segelintir anggota dan pegawai yang menyeleweng, namun perbuatan itu telah diambil, antaranya dibuang kerja.

Zulkifeli berkata ATM memandang serius sebarang usaha untuk menjatuhkan integriti pasukan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan ketua-ketua pemerintah bahagian.

Beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) ATM, yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan memastikan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan berlandaskan pentadbiran berintegriti, urus tadbir terbaik tanpa ada sebarang kerenah.

Selain itu ia bertujuan menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang mesra pelanggan, berintegriti dan berupaya memenuhi kepuasan hati pelanggan dan mewujudkan persekitaran perkhidmatan awam yang berdaya saing selaras dengan kehendak pihak yang berkepentingan.

"Justeru, jangan sesekali kita benarkan sesiapa mempersoal integriti kita, kalau ia terjadi, maka kita sebagai sebuah ketumbukan tidak akan dipandang tinggi lagi, malah saya secara kerap mengingatkan pasukan bahawa integriti dan kesetiaan adalah amat penting.

"Bila kita tidak berintegriti, ketaatsetiaan kita juga akan terhakis, katanya.

Mengulas isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota tentera, Zulkifeli berkata tiada kompromi diberikan terhadap mereka yang terlibat dengan kesalahan seperti itu.

Beliau berkata menamatkan perkhidmatan serta merta merupakan satu daripada tindakan tegas yang diambil ke atas mereka yang terlibat, ialah hukuman demi menjaga integriti dan nama baik ATM.

"Kita memandang serius perkara ini, dan ingin saya tegaskan ATM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk gejala negatif yang boleh menghancurkan imej ATM yang selama ini sentiasa dipandang tinggi," katanya.

Zulkifeli berkata bagi tempoh lima tahun lepas, sebanyak enam kes membabitkan tujuh pegawai dan anggota ATM yang disyaki terlibat dalam kes rasuah telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Beliau berkata daripada jumlah itu, tiga pegawai yang disabitkan kesalahan telah ditamatkan perkhidmatan secara serta merta, manakala selebihnya masih menunggu perbicaraan di mahkamah awam. "Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah melibatkan wang imbuhan daripada mereka yang berurusan dengan ATM serta memalsukan invois pembelian (dokumen pembelian)," katanya. Sehubungan itu beliau mengingatkan setiap anggota dan pegawainya supaya sentiasa memenuhi tuntutan integriti sebagai seorang pelindung kedaulatan negara agar gejala negatif itu tidak menjadi wabak yang boleh menjejaskan imej ATM sebagai institusi bermaruah

Artikel Lain