suria

711 Pengguna Air Saman Kerajaan Selangor

SHAH ALAM: Seramai 711 pengguna air di Selangor pada Selasa memfailkan saman menuntut ganti rugi hampir RM500,000 terhadap tiga pihak termasuk Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana tidak menerima subsidi air percuma di bawah skim yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Sahari Basri, 65, mewakili 710 pengguna lain dari kawasan Shah Alam menamakan Abdul Khalid, kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sebagai defendan.

Saman difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Kamarudin & Partners.

Peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili plaintif memberitahu pemberita selepas memfailkan tuntutan itu bahawa saman akan diserahkan kepada semua defendan dalam tempoh seminggu.

Kira-kira 100 pengguna air hadir di mahkamah dengan membawa kain rentang tertulis kata-kata menuntut kerajaan negeri menepati janji memberi air percuma.

Dalam penyata tuntutan, kesemua 711 pengguna air itu mendakwa semasa kempen pilihan raya pada Mac 2008, rakyat di negeri Selangor dijanjikan mendapat air percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan kepada pengguna domestik.

Plaintif mendakwa berdasarkan manifesto semasa kempen, setiap pengguna air domestik di Selangor yang mempunyai akaun dengan Syabas layak menerima subsidi RM11.40 sebulan tidak kira sama ada menggunakan meter individu atau meter pukal.

Mereka mendakwa selepas memenangi pilihan raya kerajaan negeri Selangor telah memulakan skim air percuma tersebut pada 1 Jun 2008.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa, mereka tidak menerima subsidi air percuma tersebut dan mendapati tiada sebarang potongan meter padu pertama ke atas bil air mereka yang dikeluarkan oleh Syabas.

Plaintif mendakwa Abdul Khalid melalui kenyataan akhbar 30 Ogos lalu berkata bahawa pengguna air yang masih memakai meter pukal tidak layak menikmati skim subsidi air percuma itu.

Plaintif mendakwa Syabas seharusnya menukar meter mereka memandangkan kerajaan Selangor mengarahkan Syabas membuat penukaran meter individu kepada mereka sejak 2007 tetapi gagal berbuat demikian.

Mereka mendakwa dengan kegagalan itu mereka tidak seharusnya dipersalahkan selain dinafikan pula hak menikmati subsidi air percuma serta menanggung kerugian.

Plaintif menuntut ganti rugi RM405,270 daripada kerajaan negeri dan/atau Syabas atau secara alternatif dibayar ganti rugi sejumlah potongan 20 meter padu air yang telah mereka bayar setakat ini dari Jun 2008 sehingga Ogos 2012.

Mereka juga menuntut deklarasi bahawa Skim Air Percuma yang dijanjikan kerajaan Selangor merangkumi semua pengguna air di negeri itu tidak kira sama ada pengguna meter pukal atau individu. BERNAMA

Artikel Lain