suria

MRT Corp Nafi Rancangan Beli Rumah Di Pinggir Zaaba

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) pada Selasa menafikan dakwaan mereka mengelirukan penduduk di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail di sini, berkaitan rancangan membeli rumah mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid berkata penduduk terbabit mengetahui rancangan itu diusul atas niat baik untuk membantu.

"Kami tidak ada asas untuk membeli hartanah terbabit tetapi kami tahu mengenai permintaan penduduk dan sebab itu kami cuba mencari jalan termasuk opsyen membeli rumah terbabit.

"Ini hanya hasrat, bukan janji. Untuk pembelian sedemikian perlukan kelulusan kerajaan. Saya sudah beritahu mereka pada satu mesyuarat bahawa kami hanya ada satu peluang untuk bentangkan kertas kerja yang baik kepada jawatankuasa khas pelaksana pampasan (SCC).

"Tetapi SCC tolak cadangan itu atas alasan tidak ada keperluan dari segi perundangan serta akan menyebabkan satu kes dahuluan untuk masa depan," katanya pada sidang media di sini.

Sebelum ini dilaporkan 25 pemilik kediaman di Pinggir Zaaba berkata rumah mereka tidak akan dapat didiami akibat kerja pembinaan selain kehadiran jajaran My Rapid Transit (MRT) yang terletak hanya 15 meter dari rumah mereka.

Mereka juga mendakwa MRT Corp berjanji secara lisan untuk membeli rumah terbabit.

Mengulas lanjut, Azhar berkata selepas rancangan pembelian itu ditolak SCC, MRT Corp mempertimbang pelbagai langkah termasuk membina jejambat serta dinding penebat bunyi bagi mengurangkan gangguan kepada penduduk apabila jajaran MRT tersebut siap kelak.

Menjawab soalan mengenai penduduk mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap MRT Corp kerana dikatakan memungkiri janji, Azhar berkata pihaknya sedang meneliti semua dokumen dan pembentangan yang dibuat penduduk terbabit.

"Kami akan tentukan langkah seterusnya selepas peguam kami selesai meneliti dokumen terbabit.

"Mereka patut faham ini projek nasional bukan swasta. Walau apa juga alasan, kami akan melindungi projek ini dan kerajaan. Jika perlu kami juga akan ambil langkah sama," katanya.

Beliau juga berkata MRT Corp akan berusaha memastikan hanya berlaku perubahan minimum kepada penggunaan jalan di kawasan kediaman terbabit termasuk mencadangkan agar Jalan Pinggir Zaaba dijadikan jalan sehala.

"Pokok yang akan ditebang bagi memudahkan kerja pembinaan akan ditanam semula dengan pokok separa matang apabila kerja pembinaan siap," katanya.

Projek MRT itu yang menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang akan mengandungi 31 stesen dan memberi perkhidmatan kepada 1.2 juta orang di sepanjang laluan apabila jajarannya siap pada 2016. BERNAMA

Artikel Lain