suria

Pembinaan Sekolah Menengah Sains Gua Musang Disambung Semula

GUA MUSANG: Kerajaan menyambung semula pembinaan Sekolah Menengah Sains Gua Musang di sini, yang tergendala sejak lebih setahun lalu kerana kontraktor ditamatkan kontrak.

Anggota Dewan Undangan Negeri Galas Ab Aziz Yusof berkata pembinaan semula sekolah berharga RM42 juta itu yang terletak di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini, bermula Jun lepas dan dijadual siap dalam tempoh 18 bulan.

"Kontraktor dahulu gagal membangunkan bangunan sebaik selesai penyediaan tapak menyebabkan kontraktor terbabit ditamatkan serta-merta sebelum dibuka tender semula untuk meneruskan pembinaannya.

"Kita yakin kontraktor baru yang berjaya mendapat tender itu tidak menimbulkan masalah dan akan dapat disiapkan mengikut jadual," katanya kepada pemberita selepas perasmian Ihya Ramadan Bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Mendrop di sini, Isnin.

Ab Aziz yang juga Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, berkata kerajaan memberi pelbagai tumpuan bagi membangunkan bandar ini termasuk membina sekolah yang menjadi idaman penduduk.

Katanya langkah itu sesuai dengan peningkatan penduduk dan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional yang tidak pernah tewas pada pilihan raya di kawasan terbabit.

Sebagai membalas budi rakyat itu, Ab Aziz berkata kerajaan terus membangunkan bandar ini dengan pelbagai projek dan menjadikan Gua Musang sebagai bandar kedua terbesar di Kelantan selepas Kota Baharu. - BERNAMA

Artikel Lain