suria

Keselamatan Di Pusat Beli-Belah Masih Tidak Capai Tahap

PETALING JAYA: Pusat membeli-belah di mana berlakunya beberapa kejadian jenayah baru-baru ini boleh mempertingkat lagi langkah keselamatan, kata seorang pakar.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Keselamatan, Datuk Shaheen Mirza Habib berkata, pengurusan mereka masih “sikap acuh tidak acuh” terhadap keselamatan walaupun berlakunya beberapa insiden yang tidak diingini.

“Saya melihat sendiri apabila berkunjung ke pusat membeli-belah,” katanya.

“Pengawal keselamatan tidak membuat rondaan di semua aras tempat letak kereta. Saya fikir sesetengah pusat membeli-belah menggaji sejumlah kecil pengawal sekadar untuk menunjukkan kewujudan mereka tetapi bukan sebagai langkah pencegahan jenayah yang sebenar,” kata beliau yang merupakan seorang pengarah di salah sebuah firma keselamatan terbesar di negara ini.

Shaheen menjadikan beberapa pengurusan pusat membeli-belah sebagai contoh yang hanya bercakap sahaja dalam melaksanakan langkah keselamatan untuk pembeli.

“Terdapat gedung di mana pengawal tidak mengiring pengunjung wanita yang bersendirian sehingga ke kereta. Saya juga perhatikan mereka tidak mempunyai CCTV yang cukup,” tambahnya.

Shaheen berkata, kebanyakan pengurusan pusat membeli-belah tidak mengutamakan keselamatan yang dibuktikan daripada peruntukan bajet mereka.

“Segelintir pengurus keselamatan memberitahu saya bahawa mereka berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menambah baik keselamatan.

“Dalam kebanyakan gedung, keselamatan merupakan keprihatinan pengurusan yang paling rendah.”

Bagaimanapun, Presiden Pengurusan Kompleks dan Pusat Membeli-Belah, H. C. Chan menafikan dakwaan itu.

“Pusat membeli-belah lebih selamat berbanding di jalanan. Malangnya terdapat beberapa individu yang dirompak di dalam pusat membeli-belah dan menjadikannya sebagai jenayah berprofil tinggi,” kata beliau.

Chan, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Shopping Malls menunjukkan bahawa gedung membeli-belah di Malaysia membelanjakan lebih banyak pada keselamatan dan sumber berbanding yang lain di negara-negara membangun.

“Kami amat prihatin tentang keselamatan.

“Ia bukan sahaja akan memberi kesan kepada perniagaan kami tetapi juga menjejaskan pelancongan yang mendapat keuntungan daripada pusat membeli-belah,” tegasnya.

Beliau mengakui terdapat ruang untuk penambahbaikan, beliau berkata, pusat membeli-belah memahami tentang kerugian sekiranya keselamatan mereka tidak mencapai standard.

“Adalah kurang bijak mengatakan bahawa kami kurang berbelanja untuk keselamatan. Walaupun kami tidak mempunyai bajet, lebih baik kami berbelanja untuk keselamatan berbanding pemasaran kerana keselamatan yang dijamin merupakan pemasaran yang baik.”

Sejak terdapat cubaan untuk menculik eksekutif pemasaran Internet, Chin Xin-Ci di tempat letak kereta di The Curve di Mutiara Damansara, pusat membeli-belah itu mencatatkan keuntungan menyusut 30 peratus.

Sejak itu, enam lagi kes jenayah berprofil tinggi direkodkan di pusat membeli-belah berhampiran walaupun dipercayai tidak mempunyai hubung kait antara satu sama lain.

Artikel Lain