suria

Sektor Pelancongan Malaysia Perlu Dimajukan Untuk Hadapi Persaingan - Muhyiddin

NUSA DUA (BALI): Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sektor pelancongan Malaysia perlu dikembangkan dengan lebih pesat dalam menghadapi persaingan sengit daripada negara-negara serantau.

Beliau berkata berkata kejayaan Malaysia berada di kedudukan kesembilan di dunia daripada segi kedatangan pelancong asing pada tahun lepas harus diiringi dengan kerja keras untuk meningkatkan pencapaiannya pada tahun-tahun mendatang.

Muhyiddin berkata ini kerana negara lain turut memberi tumpuan kepada kemajuan sektor itu sebagai salah satu penyumbang penting kepada sumber pendapatan ekonomi negara.

"Sektor pelancongan memberi kesan yang besar terhadap ekonomi dan taraf hidup rakyat. Malaysia dalam konteks ini tidak boleh terkecuali (untuk meningkatkan persaingan)," katanya kepada media Malaysia di sini Jumaat.

Muhyiddin, yang sedang dalam rangka lawatan enam hari ke Indonesia, sebelum itu menghadiri taklimat pelancongan oleh Lembaga Pelancongan Bali, yang disampaikan oleh Pengarahnya Ida Bagus Kade Subhiksu.

Sektor pelancongan Malaysia kini merupakan penyumbang ketujuh kepada ekonomi negara dan pada tahun lepas sejumlah 24 juta pelancong yang melawat Malaysia telah membelanjakan sejumlah RM58.3 bilion.

Muhyiddin berkata pengembangan sektor pelancongan Malaysia harus dilandaskan kepada Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) yang menyasarkan peningkatan dalam tempoh penginapan dan jumlah perbelanjaan oleh pelancong.

Tumpuan ialah kepada 13 projek permulaan yang telah digariskan di bawah Plan Transformasi Pelancongan Negara yang meliputi keupayaan mewah, pelancongan berkeluarga, pelancongan alam semulajadi, pakej perniagaan pelancongan dan penganjuran acara antarabangsa seperti acara sukan.

Mengikut Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), industri pelancongan Malaysia dijangka menyumbang RM103.6 billion kepada pendapatan kasar negara, dengan sasaran 36 juta pelancong menjelang tahun 2020.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia boleh mencontohi kemajuan yang dicapai oleh negara-negara lain dalam sektor pelancongan, sebagaimana yang sedang dimajukan oleh Lembaga Pelancongan Bali.

Berdasarkan data sehingga Mei lepas, Bali menerima sejumlah 70,000 pelancong dari Malaysia daripada sejumlah 1.3 juta pelancong keseluruhannya dalam tempoh itu.

Jumlah kedatangan pelancong ke Bali dijangka dapat ditingkatkan dengan pesat melalui projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, yang akan membolehkannya mengendalikan sejumlah 24 juta penumpang setahun, berbanding kapasita 12 juta penumpang pada masa ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain