suria

Mahkamah Rayuan Kekal Keputusan Kes Fitnah Adun Kubu Gajah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baharu yang mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah, Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar bertanggungjawab dalam kes saman fitnah terhadapnya oleh Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Hakim Datuk Wira Low Hop Bing berkata justeru, mahkamah tidak mahu campur tangan dalam rayuan kes itu kerana Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan.

"Perayu (Raja Ahmad), yang dinamakan sebagai defendan ketiga di Mahkamah Tinggi, didapati bertanggungjawab ekoran penglibatannya dalam penerbitan dan penyebaran artikel terbabit di Mingguan Watan, yang diputuskan hakim sebagai memfitnah plaintif.

"Isu dalam rayuan ini adalah sama ada hakim berkenaan membuat keputusan yang betul," kata Hakim Low yang bersidang bersama Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Lim Yee Lan.

Beliau berkata sama ada Raja Ahmad terlibat dengan penerbitan dan penyebaran artikel itu adalah persoalan fakta yang perlu diputuskan melalui keterangan semasa perbicaraan kes tersebut.

Hakim Low juga berkata dokumen semasa mendedahkan bahawa Raja Ahmad merupakan penasihat jabatan editorial Mingguan Watan.

Beliau berkata dokumen itu juga menunjukkan bahawa jabatan editorial itu mengesahkan akhbar tersebut tidak akan memohon maaf kerana laporan yang dipersoalkan adalah tepat, sebenar dan memenuhi kriteria berita sensasi yang berpotensi mendedahkan penyelewengan dalam ekuiti anak syarikat PKINK.

Sehubungan itu, panel Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan Raja Ahmad.

Pada 30 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Baharu membenarkan tuntutan PKINK dan memutuskan bahawa Raja Ahmad bertanggungjawab di atas penerbitan artikel fitnah itu, yang disiarkan Mingguan Watan dalam edisi Disember 2008 bertajuk 'Siasat Pemimpin-Pemimpin PAS Kelantan Seleweng Ekuiti PKINK'.

Raja Ahmad disaman PKINK dalam kapasitinya sebagai penasihat jabatan editorial akhbar itu. Mahkamah Tinggi turut memerintahkan jumlah ganti rugi ditaksir oleh timbalan pendaftar.

Artikel Berikut

Artikel Lain