suria

Polis Temui Ecstasy, Syabu Bernilai RM10 Juta

JOHOR BAHARU: Polis menemui sejumlah dadah yang dipercayai pil ecstasy dan syabu bernilai RM10 juta di sebuah kilang yang dijadikan makmal memproses dadah di Kawasan Perindustrian Baru Pekan Nenas, dekat Pontian selepas kilang berkenaan mengalami kebakaran, petang Isnin.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kebakaran di makmal yang berselindung di sebalik kilang makanan sejuk beku itu berlaku kira-kira 1.30 petang sebelum polis dimaklumkan mengenainya pada 2.30 petang.

"Kebakaran tersebut berlaku di tingkat bawah kilang itu manakala kesemua dadah tersebut berada di tingkat atas. Selain dadah, pasukan forensik polis turut menemui beberapa peralatan memproses dadah di premis berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Selasa.

Mohd Mokhtar berkata polis sudah mengenal pasti individu yang terlibat, bagaimanapun siasatan lanjut mengenai mereka sedang dilakukan.

Beliau berkata siasatan terperinci mengenai kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 itu, sedang dilakukan. Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Pontian Mohd Azrai Yahya ketika dihubungi berkata dua jentera dengan membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian serta Pekan Nenas digegaskan ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan mengenai kebakaran berkenaan.

Beliau berkata api sedang marak ketika bomba tiba di tempat kejadian dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada 3.08 petang.

"Kebakaran dipercayai berlaku di bahagian ruang pengeluaran kilang itu tetapi punca kejadian sebenar masih disiasat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain