suria

Jenazah Raja Ashman Selamat Disemadikan Di Makam Diraja Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: Jenazah Datuk Seri Raja Ashman Shah, 54, anakanda Sultan Perak Sultan Azlan Shah, selamat disemadikan di Makam Diraja Kuala Kangsar di sini lewat petang Jumaat.

Kerabat Diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata mula membanjiri perkarangan masjid seawal pukul 4 petang.

Jenazah Raja Ashman Shah tiba di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini dengan pedati khas Seraja Diraja berwarna kuning pada pukul 6.40 petang untuk disembahyangkan.

Selepas disembahyangkan, jenazah dibawa ke Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid tersebut untuk istiadat pemakaman.

Talkin dan doa kemudian dibacakan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Sultan Azlan Shah mendahului keluarga diraja menjirus air mawar dan menabur bunga di makam anakandanya itu diikuti Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun.

Ini diikuti Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan kerabat-kerabat diraja lain.

Balu baginda Datin Seri Noraini Jane Kamarul Ariffin dan putera mereka Datuk Raja Ahmad Nazim Azlan Shah serta dua puteri, Raja Eminah Alliyah dan Raja Bainunisa Safia turut menjirus air mawar dan menabur bunga mawar di makam baginda.

Raja Ashman Shah, mangkat di kediamannya di Kuala Lumpur awal pagi Jumaat akibat serangan asma.

Baginda merupakan anakanda ketiga Sultan Perak daripada lima adik-beradik iaitu Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Datuk Seri Raja Azureen, Datuk Seri Raja Eleena dan Datuk Seri Raja Yong Sofia. - BERNAMA

Artikel Lain