suria

Lagi Kisah Ibu Tidak Sedar Anak Hilang...

PADA petang Khamis 15 Mac, ketika sedang mengedit berita, penulis terpaksa membaca satu lagi berita menyayat hati melibatkan kanak-kanak.

Satu keluarga dari Kluang, Johor yang sedang bercuti di Kuala Lumpur kehilangan seorang anak lelaki berusia dua tahun apabila dia menjadi mangsa lemas ketika mereka sedang berkelah di tepi Tasik Titiwangsa.

Cerita ini menarik perhatian penulis kerana ibu mangsa hanya sedar akan kehilangan anak kecilnya itu ketika mereka selesai berkelah dan sedang bersiap-siap untuk balik.

Irfan Danish Rosdi kemudiannya dilaporkan hilang setelah mereka puas mencarinya di sekitar kawasan Taman Tasik Titiwangsa sehingga ke malam.

Malang sungguh, Irfan akhirnya ditemui terapung di tasik berkenaan oleh orang ramai pada jam 7.30 pagi Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan kejadian ini kepada para pemberita.

Menurut polis lagi, kanak-kanak malang itu bersama tiga adik beradiknya yang lain serta ibu dan makciknya telah pergi berkelah di tepi Tasik Titiwangsa. Mereka berada di Kuala Lumpur kerana menziarahi saudara di Wangsa Maju. Ketika dua lagi anaknya yang lain sedang asyik bermain buaian ibu mangsa, Norazura Ahmad, 27, tidak sedar kehilangan Irfan. Ketika itu dia sedang mendukung anak bongsunya.

Dia hanya sedar akan kehilangan Irfan ketika mereka semua sedang bersiap-siap untuk balik.

Sukar hendak percaya, orang dewasa membiarkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun merayau-rayau sendirian di tepi tasik tanpa ada rasa bimbang atau khuatir sesuatu akan terjadi kepadanya.

Lebih sukar untuk dipercayai ialah kehilangan Irfan itu hanya disedari berjam-jam selepas mereka berkelah dan ketika hendak pulang.

Ia samalah seperti kes ibu bapa yang begitu ghairah membeli belah di pasar raya ketika 'jualan hebat' sedang berlangsung sehingga tidak sedar anak yang datang bergendong sudah tidak ada di sisi.

Hanya beberapa hari yang lalu, penulis telah menulis di ruangan yang sama merayu ibu bapa supaya jangan alpa, jangan leka, jangan biarkan mereka merayau bersendirian dan menjaga keselamatan anak-anak.

Nampaknya nasihat itu seperti mencurah air ke daun keladi.

Artikel Lain