suria

Sebabkan Kematian Murid: Ustaz Dipenjara 18 Tahun

ALOR SETAR: Seorang ustaz sebuah sekolah rendah agama di Arau, Perlis dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian murid Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab yang menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Hanif Mohd Ali, 28, berkata hukuman berjalan daripada tarikh tertuduh ditahan pada 1 April 2011.

Semalam, Hanif mengaku melakukan perbuatan itu di bilik warden asrama putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau, Perlis pada 31 Mac 2011 antara 6 petang dan 12 tengah malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun.

Mohd Zaki semasa penghakimannya, berkata hukuman dijatuhkan setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh dan diharap dapat menjadi pengajaran kepada sesiapa yang ada kuasa mendisiplinkan pelajar agar lebih berhati-hati serta tidak bertindak berlebihan ketika mendidik.

"Apa yang dilakukan mestilah berkonsep mendidik dan bukan tindakan di luar perikemanusiaan... tidak harus bertindak melulu dan melampau. Harus diingat si mati masih kecil, manja dan bersaiz kecil," katanya.

Mohd Zaki berkata sebagai pendidik, tertuduh seharusnya perlu lebih banyak bersabar dalam menjalankan tugas tersebut. Sebelum mengakhiri penghakimannya, Mohd Zaki turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya menyelesaikan kes itu dalam masa yang singkat.

Tertuduh yang memakai kemeja putih, berseluar kelabu serta berkopiah dilihat berpelukan dengan beberapa sahabatnya sambil menangis selepas penghakiman terhadapnya selesai.

Sebelum ini, Hanif dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pertuduhan itu dipinda kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan ketika mahkamah memberikan keputusan di akhir kes pendakwaan pada Isnin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin, Najib Zakaria, Nadia Hanim Mohd Tajuddin dan Azhar Mokthar, manakala tertuduh diwakili lima peguam terdiri daripada Arif Azami Hussein, Azizul Shariman Mat Yusof, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Fikri Abdul Rahman dan Zulmi Sabri. -BERNAMA

Artikel Lain